Pelajar boleh beli rokok RM1 sebatang di kedai tepi jalan - CAP - Utusan Malaysia

Pelajar boleh beli rokok RM1 sebatang di kedai tepi jalan – CAP

N. V. Subbarow ketika menghadiri kempen anti merokok dalam kalangan pelajar sekolah di George Town, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan pendedahan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mana lebih 43,000 pelajar sekolah merokok bukan sesuatu yang mengejutkan.

Malah, Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, jumlah pelajar yang merokok itu mungkin lebih tinggi daripada yang dinyatakan dan Malaysia juga mungkin negara dengan jumlah pelajar merokok antara tertinggi di dunia.

Jelas Subbarow yang juga aktivis anti merokok, hakikat itu memandangkan CAP masih menerima aduan daripada ibu bapa yang mana pelajar-pelajar boleh membeli sebatang rokok pada harga RM1 di kedai-kedai runcit di tepi jalan di kawasan tertentu meskipun perkara itu bertentangan dengan undang-undang.

Tambah beliau, situasi itu diburukkan lagi dengan kebebasan menjual peranti rokok elektronik atau vape yang sebahagiannya mengandungi nikotin yang turut boleh dibeli pelajar sekali gus boleh mendorong mereka menghisap rokok apabila menginjak dewasa.

“Menghisap rokok dan vape ketika ini menjadi gaya hidup buat golongan pelajar dan belia dan adalah sesuatu yang lumrah ketika ini untuk melihat anak-anak muda berjalan ke mana-mana dengan menghisap vape atau membeli produk vape dan rokok yang mengandungi nikotin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendedahan KKM menerusi laporan Utusan Malaysia hari ini yang mana lebih 43,000 pelajar sekolah dikesan menghisap rokok hasil saringan terhadap 1.3 juta pelajar sekolah menengah.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, angka itu amat membimbangkan dalam kalangan individu bawah umur sekali gus negara memerlukan satu undang-undang kawalan bagi menghalang penggunaan produk merokok dalam kalangan generasi muda demi melindungi kesihatan mereka.

Sehubungan itu, tambah Subbarow, kerajaan perlu mengambil langkah drastik sekiranya benar-benar mahu mengekang gaya hidup merosakkan dalam kalangan pelajar dan belia itu antaranya dengan menaikkan harga dan cukai rokok.

Jelas beliau, kali terakhir cukai rokok dinaikkan adalah kira-kira tujuh tahun lalu dan bukti menunjukkan kenaikan harga dan cukai rokok dapat mengekang perokok untuk meneruskan tabiat mereka itu seterusnya mendorong mereka untuk berhenti merokok.

“Kesannya, perokok tegar akan berfikir panjang untuk membeli sekotak rokok berikutan harganya yang tinggi selain menganggapnya barangan mewah atau eksklusif yang sukar atau mustahil diperoleh.

“Antara negara yang telah menguatkuasakan kenaikan cukai rokok ialah Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei dan Malaysia sepatutnya mengambil langkah serupa sekiranya benar-benar mahu menyelamatkan lebih ramai belia khususnya daripada terjebak dengan gaya hidup merosakkan sebagai perokok.

“Langkah ini juga penting bagi mengelakkan negara terus berbelanja berbilion-bilion ringgit semata-mata untuk merawat penyakit berkaitan pengambilan tembakau dalam kalangan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya