PERSEPSI UMNO bersama DAP dan tohmahan UMNO sudah hilang identiti Islam dan Melayu kerana bersama DAP merupakan antara dua isu hangat mewarnai Perhimpunan Agung UMNO 2023 yang berlangsung selama empat hari bermula 7 Jun lalu.
Meskipun tujuan Perhimpunan Agung UMNO diadakan untuk membincangkan hala tuju dan soal masa depan negara dan orang Melayu, sebaliknya program tahunan itu masih dibayangi tujuan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) termasuk hubungan UMNO dengan PH meskipun lebih tujuh bulan Kerajaan Perpaduan terbentuk.
Malah kepimpinan UMNO sudah ‘berbuih mulut’ cuba membetulkan persepsi kepada akar umbi bahawa kerjasama mereka bersama PH demi jaminan kestabilan negara di samping agenda Islam dan Melayu tetap dipertahan.
Namun persepsi bahawa UMNO sudah lupa daratan setelah bersama DAP masih menebal dalam kalangan ahli bawahan.
Misalnya satu townhall telah diadakan pada 7 Jun lalu dengan menampilkan kepimpinan tertinggi UMNO untuk memberi peluang kepada perwakilan bertanyakan soalan secara terus.
Ada akar umbi mengajukan soalan berkenaan hubungan bersama DAP, kemudiannya penjelasan lanjut diberikan sehabis-habisnya kepada mereka yang memenuhi Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Dalam program itu, perwakilan yang hadir diterangkan oleh pemimpin parti bahawa kerjasama Kerajaan Perpaduan sebenarnya bukanlah antara UMNO dan DAP sebaliknya Barisan Nasional dengan PH.
Antaranya memeterai persefahaman ditandangani antara Pengerusi BN dan Pengerusi PH, bukannya Presiden UMNO dan Setiausaha DAP sekali gus tidak timbul isu parti itu diheret bersama DAP.
Malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkali-kali menegaskan sama ada ketika Taklimat Presiden dan ucapan dasar, bahawa selepas tujuh bulan Kerajaan Perpaduan mentadbir, tidak pernah soal kedaulatan raja-raja Melayu, kesucian agama Islam dan agenda Melayu serta Bumiputera dipertikai khususnya dalam kalangan wakil rakyat DAP.
Sebaliknya hanya persepsi yang sengaja ditimbulkan pihak pembangkang kononnya Islam dan Melayu telah tergugat di bawah Kerajaan Perpaduan dan terbaharu satu kempen ‘satu undi BN satu undi DAP’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Malah bukan mudah untuk menjernihkan persepsi walaupun beribu kali dijelaskan dengan pelbagai fakta sebenar.
Dalam politik ini, 90 peratus permainan persepsi dan selebihnya fakta. Jadi bagaimana UMNO hendak urus persepsi dalam kalangan akar umbi yang hati mereka masih terguris ekoran perseteruan lama dengan DAP.
Apatah lagi menjelang PRN, perkara ini kena ditangani secepat mungkin ekoran pihak lawan sengaja menimbulkan persepsi bagi memancing undi orang Melayu khususnya ahli UMNO.
Mungkin ada benarnya desakan Pemuda UMNO agar DAP meminta maaf kepada UMNO terhadap segala tohmahan selama ini agar dapat melegakan keresahan ahli-ahli parti meskipun ada pihak menyambut baik, manakala satu lagi pihak menyifatkannya tidak perlu.
Oleh itu, Perhimpunan Agung UMNO yang telah dihadiri lebih 6,000 perwakilan seluruh negara boleh menjadi sia-sia jika 3.4 juta ahli masih terperangkap dengan permainan persepsi sedangkan jika mereka faham berdasarkan fakta sebenar, soal itu tidak harus lagi berlaku.
Jadi sejauh mana persepsi UMNO bersama DAP telah ditangani dengan baik oleh kepimpinan parti, maka kepimpinan menerusi unit kajian strategik perlu melakukan kajian sikap untuk melihat sejauh mana pandangan akar umbi terhadap keberadaan BN dalam Kerajaan Perpaduan.
Paling penting bagaimana untuk menyelesaikan penangan persepsi itu, malah pengamal media sering terperangkap dengan perang saraf itu kerana asyik bertanyakan dalam sidang media berkenaan cakap-cakap hubungan UMNO-DAP.
Bagaimanapun, terserah kepada perwakilan untuk menilai antara persepsi dan fakta, jika mereka sayang parti wajar mengikut fakta dan bukannya andaian semata-mata. – UTUSAN











