KUALA LUMPUR: Kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menganggap Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’ dibuat atas kapasiti indivitu dan tidak mewakili kepemimpinan parti itu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Tony Pua tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam DAP, justeru beliau bercakap atas kapasiti individu.
“Ucapan tersebut yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Tony Pua yang menganggap BN korup dan Perdana Menteri seharusnya mencari jalan untuk menubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sahaja tanpa kerjasama dengan BN khususnya.

Tony Pua berkata demikian dalam satu majlis yang dianjurkan oleh DAP Petaling Jaya.
Loke menegaskan, kepmimpinan tertinggi DAP telah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik.
Katanya, sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju DAP pada masa ini.
“Saya ingin mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran.
“Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP,” katanya. – UTUSAN










