PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini menyindir Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengambil sikap menikus walaupun Barisan Nasional (BN) digelar sebagai ‘pakatan korup’.
Beliau berkata, ini kerana gelaran berkenaan disifatkan sebagai satu penghinaan.
“Apabila Tony Pua label UMNO dan Barisan Nasional (BN) pakatan korup, saya ingatkan Presiden UMNO akan mengaum kerana label itu satu penghinaan.
“Rupa-rupanya Presiden UMNO menikus. Dia sekadar suruh UMNO jangan layan. Cikgu dah call la tu…,” sindirnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Tony Pua ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di pekarangan Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, menggelar BN yang kini membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH), sebagai ‘pakatan korup’.
Dakwaan itu mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menganggap bekas Ahli Parlimen Damansara itu tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berunsur serangan terhadap mana-mana rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dalam satu majlis di Seremban, Negeri Sembilan menasihatkan semua pemimpin parti itu supaya tidak melayan atau memberi sebarang reaksi terhadap kenyataan Tony Pua yang juga bekas Setiausaha Publisiti DAP.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ini kerana kenyataan itu bukan pandangan rasmi daripada kepemimpinan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN










