SEREMBAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu kemiskinan tegar yang dihadapi dalam negara dinoktahkan pada tahun ini dengan penglibatan semua kementerian dan agensi kerajaan.
Perdana Menteri berkata, isu kemiskinan tegar termasuk dalam kalangan masyarakat luar bandar bukan hanya menjadi tugas Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) walaupun kementerian tersebut mempunyai peranan yang cukup penting.
“Kementerian ini sangat penting termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk dapatkan maklumat yang penting dalam kalangan yang dianggap kemiskinan tegar. Kita mahu tahun 2023 ini kita mesti noktahkan jumlah kemiskinan tegar termasuk di Negeri Sembilan.
“Ada yang kata ia tidak praktikal, berapa jumlah? 130,000 keluarga, sekarang ini sudah cecah 50 hingga 60 peratus yang telah masuk dan dapat jumlah yang kita rasa lepaskan mereka daripada kemiskinan.
“Keseluruhan jentera kerajaan mestilah buat ke arah itu, saya percaya dengan sokongan KKDW, sangat penting dan strategik yang dibuat untuk menyantuni rakyat majoriti orang Melayu untuk dibantu di mana yang perlu termasuk kelompok kecil miskin orang Cina, India, Orang Asli dan masyarakat pedalaman Sabah dan Sarawak. Saya tidak fikir ini jadi masalah jika semua jentera dapat kita kumpulkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Sentuhan Kasih Desa, Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Dataran Nilai di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan bantuan dan kemudahan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Felcra Berhad dan Bahagian Pembangunan Usahawan Desa, KKDW kepada sejumlah penerima dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.191 juta.
Anwar dalam pada itu berkata, kerajaan tidak boleh untuk terus menurunkan kadar defisit negara dengan mendadak kerana ia boleh menjejaskan pembangunan negara termasuk di luar bandar.
“Kerajaan kini terpaksa kurangkan perbelanjaan negara daripada 5.6 peratus menjadi lima peratus. Orang tanya kenapa tidak turunkan lebih lagi, kalau kita kurangkan lebih, peruntukan untuk pembangunan desa dan wilayah terpaksa dipotong, peruntukan projek sekolah terpaksa dipotong, untuk kesihatan juga terpaksa dikurangkan, saya tidak sanggup.
“Rakan-rakan dalam Jemaah Menteri kata, kita potong projek-projek mega yang tidak mendesak tetapi kita tambah projek pembangunan desa dan pendidikan dan sekolah anak-anak kita,” katanya. – UTUSAN