Noh Omar umum hala tuju politik esok - Utusan Malaysia

Noh Omar umum hala tuju politik esok

Noh politik
ROSLAN Shahir Mohd. Shahir (tengah) bersama pimpinan komponen PN Selangor dalam sidang akhbar di Pejabat Badan Perhubungan Pas Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar didakwa akan mengumumkan hala tuju politiknya terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada hari pertama siri jelajah Perikatan Nasional (PN) negeri ini, esok.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir yang mendakwa bekas pemimpin UMNO itu akan menyertai jelajah tersebut sebagai tetamu khas di samping Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kita akan tengok esok, antara pengumuman penting dilakukan dalam PN oleh bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dalam siri pertama jelajah. Selepas ini, kita akan laksanakan jelajah di kesemua 22 parlimen seluruh negeri,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Terdahulu, anak Noh, Nurul Syazwani dilapor menyertai Bersatu dan dilantik sebagai Ketua Srikandi Bersatu Tanjong Karang, malah beliau juga disebut-sebut menjadi calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang.

Dalam pada itu, beliau menyatakan rasa kesal terhadap tindakan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) yang tidak membenarkan penganjuran siri jerayawara yang dinamakan sebagai Jelajah Selangor Baharu di Padang Astaka, Tanjong Karang.

Menurut Roslan Shahir, permohonan dibuatnya lebih awal iaitu pada 26 Mei dan hebahan berkenaan program tersebut dibuat sejak 20 Mei, namun 31 Mei lalu MPKS memaklumkan permohonan tidak dapat dipertimbang dengan alasan padang awam untuk kegunaan awam bagi tujuan riadah.

“Kami kesal, keputusan dibuat dipercayai wujud tekanan dan campur tangan politik. Malah, difahamkan pada tarikh tersebut akan dianjurkan Karnival Anak Muda Madani oleh pihak Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) di Dewan Dato’ Hormat, Padang Astaka.

“Untuk makluman, rundingan kami (sebelum ini), tiada sebarang tempahan dibuat mana-mana pihak bagi tarikh 4 Jun 2023, Ahad. Kejadian ini cukup dikesali, malah memberi isyarat kerajaan negeri PH-BN cukup bimbang dengan pengaruh kami dan kebangkitan rakyat,” jelasnya.

Jelasnya lagi, lokasi penganjuran Jelajah Selangor Baharu itu kini ditukar ke Kompleks Pas (Kompas) Tanjong Karang dekat Jalan Jepun, Kampung Melaka, di Tanjong Karang.

“Sepatutnya Selangor maju dan progresif ini menyediakan prasarana untuk kegunaan semua pihak bagi meraih sokongan rakyat, bukannya membolot kemudahan awam untuk kepentingan sendiri dan kemudian mengaku diri sebagai parti kononnya adil dan demokratik,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya