MyPR Basni Sabra: JPN siasat keberangkalian wujud sindiket pemalsuan - Utusan Malaysia

MyPR Basni Sabra: JPN siasat keberangkalian wujud sindiket pemalsuan

BASNI Sabrah menunjukkan kad pengenalannya sebagai penduduk tetap negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan melakukan risikan dan siasatan terhadap kebarangkalian termasuk wujudnya sindiket pemalsuan kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR) ekoran pendedahan kes seorang lelaki dikenali Basni Sabra yang masih hidup meskipun dilaporkan penemuan satu mayat menggunakan dokumen sama.

Menurut kenyataan JPN, hal ini semakan pangkalan pihaknya mendapati lelaki dikenali Basni Sabrah yang masih hidup itu adalah pemilik MyPr yang sah.

Jabatan itu kemudian menjelaskan kekeliruan yang berlaku mungkin disebabkan MyPR Basni yang pernah dilaporkan hilang sebelum ini telah ditemukan dan telah disalahgunakan pihak lain.

“Walaupun satu pihak lagi yang disyaki menggunakan MyPR yang hilang tersebut telah meninggal dunia, JPN akan melakukan risikan dan siasatan terhadap kebarangkalian yang ada berkaitan kes ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan jasad seorang lelaki warga emas bernama Basni Sabrah kini masih lagi tersimpan dalam peti sejuk Unit Forensik Hospital Kajang walaupun sudah disahkan meninggal dunia pada 12 April lalu.

Ia menimbulkan persoalan, apakah sebenarnya yang berlaku sehingga hospital ‘menahan’ jasad warga emas itu lebih 60 hari tanpa dikebumikan, namun berdasarkan prosedur Kementerian Kesihatan, proses menguruskan jasad warga asing tidak dituntut perlu mendapatkan surat kebenaran daripada kedutaan negara asal si mati.

Si mati sebelum itu menghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, selama empat tahun namun difahamkan pihak pengurusan pusat tersebut tidak pernah ada dokumen pengenalan dirinya melainkan salinan kad pengenalan pemastautin tetap dengan nama ‘Basni Sabrah’.

Isu tersebut menimbulkan persoalan apabila, Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono memaklumkan bahawa individu bernama Basni Sabrah sebenarnya masih hidup dan menetap di ibu negara selepas berjaya menjejaki warisnya di Sumatera.

Akhbar ini juga berjaya menghubungi Basni Sabrah yang sebenar dengan bantuan Kedutaan Indonesia yang kini bekerja sebagai kelindan lori di ibu negara.

Dalam pada itu, JPN mengingatkan kepada pemegang MyPR bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk menggunakan semua lunas perundangan yang ada untuk menghukum mana-mana pihak bersekongkol dengan pihak tidak bertanggungjawab kerana MyPR yang hilang boleh disalah guna dan menggugat keselamatan negara ini.

Katanya, orang awam mengetahui perkara seumpamanya juga diseru untuk tampil menyalurkan maklumat kepada JPN.

Jelas JPN, sekiranya berlaku kehilangan mestilah dilaporkan dengan segera kepada JPN dan MyPR yang telah dilaporkan hilang akan dibatalkan di dalam sistem.

“Justeru kad yang hilang tersebut bukan lagi satu kad yang sah digunapakai untuk sebarang urusan. Namun terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang menjumpai kad tersebut dan menggunakan identiti pemilik sebenar itu,” katanya.

JPN menegaskan bahawa modus operandi itu akan dapat dikesan sekiranya pengesahan biometrik dibuat di mana akan membuktikan pemegang bukanlah pemilik sebenar.

“Menggunakan kad pengenalan orang lain merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurut JPN, MyPR merupakan salah satu jenis kad pengenalan dikeluarkan kepada Pemastautin Tetap berstatus bukan warga negara dan kepada berkelayakan berdasarkan permit masuk Jabatan Imigresen. 

Katanya, MyPR yang berwarna merah ini mempunyai semua data utama pemilik termasuk nombor permit dan maklumat negara asal.

“Proses pengeluaran MyPR telah menjalani tapisan oleh beberapa Jabatan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan JPN. Malah setiap permohonan yang telah diluluskan perlu melalui proses saringan ketat termasuk pengesahan biometrik.

“Kesinambungan perlindungan dan penjagaan MyPR tersebut adalah terletak kepada pemiliknya. Malah Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPN) juga memperuntukkan kewajipan setiap pemilik menjaga kad pengenalan masing-masing,” jelas JPN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN