Muda nak cabar siapa? – Adam Adli

Muda nak cabar siapa? – Adam Adli

ADAM ADLI ABDUL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa parti tersebut menyatakan pendirian sama ada masih menganggap sebahagian kerajaan atau pembangkang.

Ketuanya, Adam Adli berkata, Muda perlu menyatakan secara jelas pendirian mereka sama ada masih lagi menyokong Kerajaan Perpaduan memandangkan keputusan parti tersebut bertanding secara ‘solo’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) seolah-olah mencabar kerajaan.

Kata beliau, tidak ada mana-mana pihak memasuki pilihan raya kerana suka-suka, sebaliknya semua mahu menang dan tubuhkan kerajaan.

“Muda nak cabar siapa dalam PRN sebenarnya? Pakatan Harapan (PH) adalah penyandang di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Masuk PRN ertinya mencabar penyandang, dengan tujuan menggantikan penyandang tersebut. Adakah itu matlamat Muda,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Muda akan bertanding PRN atas kekuatan parti mereka sendiri tanpa bergabung dengan parti-parti politik yang besar biarpun mengakui tindakan ‘perang’ tersebut adalah risiko kepada parti.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Muda ingin menjadi wake up call kepada parti kerajaan perpaduan hari ini kerana dilihat terlalu selesa dengan sokongan majoriti 148 ahli Parlimen.

Adam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, Muda tidak perlu melemparkan jawapan yang retorik seperti ingin memerangi politik tua tetapi sebaliknya menjelaskan matlamat mereka iaitu adakah ingin menggantikan PH.

“Jika ada matlamat menggantikan kerajaan negeri, secara tidak langsung dalam pemahaman masyarakat ertinya PH ini dibayangkan oleh Muda sebagai tidak lagi layak kerajaan, begitu?

“Kalau masuk PRN hanya kerana gagal dapatkan ruang nak bertemu dan bermesyuarat, maka saya anggap Muda memang bukan rakan kongsi yang sesuai disimpan. It’s all about your interest, bukan rakyat pun,” katanya.

Sehubungan itu, ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu meminta Muda menjelaskan pendirian dan matlamat mereka yang sebenar terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Jika tidak lagi sokong, boleh lintas ke blok pembangkang. Tiada siapa haling, tidak salah pun dari segi undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×