MELAKA: Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) dan 43 persatuan di bawah gabungan itu menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan semula pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Generasi Penamat (GEG) pada persidangan Parlimen kali ini.
Presidennya, Wong Teu Hoon menegaskan, RUU berkenaan masih belum sempurna dan tidak boleh dibentangkan secara terburu-buru.
Jelasnya, banyak perkara yang perlu diteliti semula agar tidak mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan dan seterusnya menggagalkan objektif untuk mengurangkan jumlah perokok di Malaysia.
“Pendidikan adalah kunci utama untuk mengurangkan tabiat merokok dan kerajaan perlu bertegas dengan memperluaskan kawasan larangan serta menjalankan lebih banyak penguatkuasaan terhadap perokok bawah umur.
“Larangan merokok untuk generasi baru tidak akan menyelesaikan masalah ini, sebaliknya pendekatan yang lebih seimbang diperlukan untuk mengelak sebarang masalah di kemudian hari.
“Kami percaya penguatkuasaan RUU ini akan memaksa perokok membeli produk tembakau daripada saluran yang tidak sah, sekaligus memburukkan lagi masalah rokok seludup. Jika larangan ini dikuatkuasakan akan mendorong perokok memilih rokok seludup dan seterusnya menjejaskan pendapatan dan kutipan cukai kepada negara.
“Justeru, kami telah menghantar memorandum kepada 220 ahli Parlimen semalam (Isnin) bagi menyuarakan kebimbangan persatuan. Kami menyeru semua ahli Parlimen untuk bersama-sama membantah RUU ini,” katanya dalam sidang akhbar khas di Kota Laksamana di sini, semalam.

Tambah Teu Hoon, persatuan turut bimbang terhadap aspek penguatkuasaan GEG kerana para peniaga dilihat perlu menjadi barisan hadapan dalam menguatkuasakan RUU berkenaan.
Katanya, kerajaan sebelum ini pernah melakukan perkara hampir serupa tetapi akhirnya para pekedai yang terpaksa memikul tanggungjawab untuk memastikan undang-undang ini dikuatkuasakan dalam premis masing-masing.
“Jika ini berlaku, kos operasi kami pasti akan meningkat dan mungkin perniagaan kami akan gulung tikar. Pada dasarnya kami menyokong agenda kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok di Malaysia.
“Oleh itu, kami meminta kerajaan menghentikan kelulusan RUU dan kajian dan perundingan yang komprehensif harus diadakan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha MSCSPGA, Datuk Tan Chnan Yeang berkata, sekiranya pelaksanaan RUU tersebut menjadi kenyataan, seramai 6,000 daripada 20,000 ahli yang berdaftar dengan persatuan itu akan gulung tikar.
Menurutnya, penjualan produk tembakau merupakan salah satu sumber pendapatan peniaga kedai kopi di Malaysia.
“Dengan penguatkuasaan ini pendapatan peniaga turut terjejas dan yang lebih mengecewakan adalah dunia kini sedang berhadapan dengan kemelesetan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya. – UTUSAN










