BALING: Seorang anak tidak menyangka mimpi mengenai kemalangan yang menimpa keluarganya menjadi kenyataan apabila empat ahli keluarga termasuk ibunya maut dalam nahas di Jalan Kulim-Baling, Padang Meha di Kulim, kelmarin.
Omar Ali, 19, berkata, ketika berada di asrama sekolah tiga hari lalu, dia bermimpi keluarganya mengalami kemalangan dan kesemuanya maut dalam tragedi itu.
“Ketika tidur malam itu, emak (Rosnah Mokhtar), kakak (Kamilah Ali), abang ipar (Mohd. Izham Johar) dan anak saudara (Arwa Ulya) antara yang ada dalam mimpi itu. Saya terbangun sekitar pukul 3 pagi dan mengingati semula mimpi lalu beristighfar dan berdoa semoga Allah jauhkan keluarga saya daripada malapetaka.
“Saya sangkakan mimpi itu hanya mainan tidur, rupa-rupanya Allah bagi petanda bahawa keluarga yang saya sayangi ini benar-benar ‘pergi’ meninggalkan kami apabila mereka terlibat dalam kemalangan petang semalam,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Kembal, Kuala Ketil.
Katanya, ketika pulang dari asrama sekitar pukul 3.30 petang semalam, rakannya datang ke rumah dan memberitahu keluarganya terlibat dalam kemalangan dan ada antara mereka yang meninggal dunia.
Katanya, dia masih terpinga-pinga dan tidak mempercayai berita tersebut sehingga rakannya menunjukkan gambar kereta dan nombor pendaftaran serta gambar-gambar kemalangan yang tular.
“Saya sebak apabila mengetahui emak meninggal dunia kerana selama ini sangat bergantung harap kepadanya kerana emak yang uruskan segala keperluan saya terutama mengenai pelajaran.
“Sebelum emak keluar rumah dengan kakak pagi semalam, kami berdua sempat beli ikan dan keperluan dapur, sepatutnya saya juga ikut mereka ke Parit Buntar kerana kakak mahu selesaikan urusan kerjanya di sana sambil mahu ambil adik bongsu yang berada di asrama sekolah tahfiz,” katanya.
Kata anak kesembilan daripada 11 beradik itu, dia tidak jadi mengikut kakaknya kerana mahu membersihkan rumah dan menyediakan segala kelengkapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha esok.
“Sebelum tragedi itu juga, kakak ada maklum kepada emak bahawa dia turut bermimpi dan berkata ‘nak pi dah’ (sudah akan pergi) dan emak juga kata ‘kalau hang nak pi, mak pun nak ikut’,” katanya. – UTUSAN










