MHO gesa kerajaan bela 6,000 penduduk tuntut hak tanah adat

MHO gesa kerajaan bela 6,000 penduduk tuntut hak tanah adat

HISHAMUDDIN Hashim (dua dari kanan), Musa Hassan (tiga dari kanan) bergambar bersama sebahagian wakil 6,000 penduduk yang menuntut hak di atas tanah adat mereka di Tongod, Kunak, Kundasang, Nabawan dan Keningau, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak kerajaan agar membela nasib hampir 6,000 penduduk di lima daerah Sabah yang dibelenggu kemelut permasalahan status pendudukan dan hak mereka sebagai penduduk asal sejak berdekad lalu.

Setiausaha Agong MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah mendedahkan salah laku dan permasalahan yang diajukan oleh penduduk-penduduk kampung berkenaan tanah adat di negeri Sabah terutamanya di daerah Tongod, Kunak, Kundasang, Nabawan dan Keningau.

Katanya, pelbagai usaha dan permohonan telah dibuat kepada pihak kerajaan negeri sebelum ini namun tiada tindakan yang wajar dibuat sehingga menyebabkan penduduk-penduduk kampung tiada jalan lain dan terpaksa meminta bantuan MHO.

“Mereka ini adalah penduduk asal yang telah meneroka dan tinggal malah ada sebahagian kubur nenek moyang mereka di sana. Mereka telah membuat permohonan tanah, malangnya permohonan mereka ditolak, tidak dilayan malahan dikeluarkan geran kepada orang ketiga.

“Isu pertama adalah melibatkan geran komunal yang mana objektifnya adalah untuk membasmi kemiskinan. Kerajaan negeri cuba untuk memanggil peserta-peserta orang asal dan menandatangani perjanjian bersama pemaju supaya tanah dimajukan.

“Mereka dijanjikan untuk dibayar dividen, anak-anak penduduk boleh bekerja di ladang tersebut. Malangnya setelah beberapa tahun perjanjian dimeterai mereka (pemaju) merungut menghadapi masalah tidak mendapat keuntungan dan mengalami kerugian,” katanya ketika sidang akhbar di Nasken Coffee Sungai Besi, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden MHO, Tan Sri Musa Hassan yang juga Presiden Pertubuhan Kebimbangan Jenayah Masyarakat Malaysia.

Jelasnya lagi, penduduk yang telah menandatangani geran komunal bagi tujuan pertanian juga tidak pernah menerima bayaran dividen seperti yang dijanjikan selama bertahun-tahun.

“Bukan itu sahaja, MHO menerima aduan sebahagian besar daripada penduduk tempatan, nama mereka tidak dimasukkan dalam geran komunal tersebut,” katanya.

Seterusnya, Penyelaras MHO Sabah, Kapten (B) Jerry Jaimeh berkata, tiada tindakan lanjut dibuat walaupun penduduk sudah beberapa kali bersuara bagi menyelesaikan isu berkenaan bersama agensi dan Kerajaan Negeri Sabah.

“Pada hari ini, kami hadir bersama wakil penuntut lima daerah terpaksa terbang sejauh ribuan kilometer untuk terus bersuara memohon pertolongan kemanusiaan daripada Kerajaan Persekutuan agar mendengar rintihan penduduk pribumi Sabah. Kami sudah letih berurusan dengan pihak berkuasa yang terlibat.

“Bahkan kami telah menghantar surat berhimpun di hadapan pejabat Ketua Menteri namun sehingga kini, perkembangan cukup perlahan yang mana setiap hari tanah-tanah dan hasil-hasil tanah disedut oleh golongan kapitalis tanpa belas ihsan,” katanya.

Beliau menjelaskan, penduduk bersetuju tanah adat diusahakan oleh pihak tertentu dengan harapan pihaknya bakal mendapat sedikit imbuhan berikutan beberapa kekangan yang dihadapi oleh mereka namun tidak menyangka mereka akan ditindas.

“Hasil tanah diambil dan dihalau dari tanah sendiri malah sebahagian daripada mereka ditangkap kerana menceroboh tanah sendiri. Kita berharap Perdana Menteri mendengar rintihan dan memberi bantuan kemanusiaan,” tegasnya.

Salah seorang wakil penduduk, Leef Anwar Malandi, 53, dari Kampung Motenki, Kundasang berharap Kerajaan Madani mendengar tuntutan berkenaan tanah adat mereka kerana saat ini mereka telah dianggap sebagai penceroboh oleh pihak ketiga.

“Saya mewakili 77 penduduk Kampung Motenki hanya menuntut dua ekar tanah sahaja untuk satu individu demi kelangsungan hidup generasi kami yang akan datang. Tanah ini untuk kehidupan, bukan untuk kami menjadi kaya tetapi menuntut hak untuk tempat tinggal kami serta anak cucu nanti.

“Kami sebagai orang asal, yang bercucuk tanam dan mendapat mata pencarian di situ, memohon pihak kerajaan menegakkan keadilan buat kami,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hishamuddin memaklumkan pihaknya akan tampil ke Pejabat Perdana Menteri pada pagi Rabu ini untuk serahan memorandum secara terus kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menegakkan hak penduduk yang ditindas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN