PETALING JAYA: Satu Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bersama Maybank dalam usaha memacu inovasi dan pembangunan mampan sektor pertanian bandar bagi memberi manfaat kepada masyarakat dalam menangani cabaran alam sekitar.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, MoU itu bertujuan untuk menjalinkan perkongsian dalam melaksanakan latihan dan membangunkan modul latihan yang komprehensif dan terkini mengenai pertanian bandar.
“Perjanjian ini juga berfungsi untuk mengintegrasikan sistem pengetahuan dalam inisiatif pertanian bandar melalui perkongsian data dan maklumat, pengajaran yang diperoleh, amalan terbaik serta memacu aktiviti pertanian bandar untuk masyarakat yang lebih luas.
“Selain itu, kerjasama ini juga membuka peluang untuk meneroka program dan projek yang berpotensi dan memberi manfaat kepada masyarakat serta melaksanakan pemindahan teknologi pertanian bandar dan aplikasi infrastruktur hijau daripada MARDI kepada Maybank dan komunitinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, MoU itu ditandatangani oleh Mohamad Zabawi yang mewakili MARDI manakala Maybank diwakili Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan, Datuk Nora Abd. Manaf di Akademi Maybank di Bangi.
Tambah Mohamad Zabawi, kerjasama strategik dengan Maybank itu akan memberi pendedahan dan manfaat kepada kakitangan bank berkenaan yang berminat dalam bidang pertanian dan keusahawanan.
“Program ini menyediakan kursus, latihan, bimbingan daripada penyelidik bertauliah dan berpengalaman serta peluang untuk menyediakan rancangan perniagaan.
“Di samping itu, kerjasama itu juga diharap dapat mempercepatkan penggunaan teknologi pertanian berinovasi secara terus kepada usahawan muda di Malaysia khususnya kakitangan Maybank,” tambahnya.
Sementara itu, Nora berkata, Maybank menjalin kerjasama ini untuk membantu masyarakat dalam aspek menangani keselamatan dan keterjaminan makanan, memacu pembangunan mampan dan memupuk perubahan positif dalam masyarakat.
“Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan MARDI yang telah memainkan peranan penting dalam membantu Maybank melaksanakan inisiatif pertanian bandar sejak 2016,” jelasnya. – UTUSAN