PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta golongan belia memanfaatkan sebaiknya inisiatif eBeliaRahmah yang diperuntukkan bermula hari ini.
Perdana Menteri berkata, anak-anak muda serta mahasiswa yang layak sudah boleh mendaftar untuk menerima kredit berjumlah RM200 melalui pelbagai plaform e-Dompet.
“Saya amat berharap wang ini dimanfaatkan sebaiknya oleh kalian untuk pembelajaran dan keperluan masing-masing,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Online melaporkan, kerajaan memperuntukkan RM400 juta bagi program eBeliaRahmah di bawah Belanjawan 2023 yang akan memanfaatkan seramai dua juta belia yang layak.
Belia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) boleh mula mendaftar dan menuntut inisiatif itu mulai hari ini sehingga 22 Ogos nanti.
Kredit eBeliaRahmah serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat pula boleh dibelanjakan secara ‘offline’ sehingga 31 Ogos. – UTUSAN