Malaysia perlukan lebih ramai pelaut

Malaysia perlukan lebih ramai pelaut

ANTHONY Loke melancarkan Kad Pelaut Digital sempena Hari Pelaut 2023 Peringkat Kebangsaan, Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Malaysia memerlukan lebih ramai pelaut tempatan pada masa depan bagi memenuhi potensi dan keperluan industri perkapalan di peringkat tempatan dan luar negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketika ini, negara mempunyai sekitar 60,000 pelaut yang mendaftar dengan Jabatan Laut Malaysia dan jumlah itu tidak mencukupi jika dibandingkan dengan keperluan sebenar industri.

Beliau berkata, negara jiran termasuk Filipina dan Indonesia mempunyai pelaut yang ramai, malah tenaga mereka turut memenuhi keperluan industri perkapalan di luar negara.

“Jadi saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak anak-anak muda Malaysia supaya menceburi bidang pelaut ini.

“Kerjaya sebagai pelaut bukannya pilihan kerja utama dalam kalangan rakyat Malaysia kerana terpaksa keluar ke laut berbulan-bulan meninggalkan keluarga,” katanya selepas menyempurnakan Hari Pelaut 2023 Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Katanya, beliau percaya jika anak muda terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberi banyak pendedahan, ia mungkin boleh menarik minat lebih ramai menyertai profesion itu.

Loke berkata, kerjaya sebagai pelaut juga menawarkan pendapatan yang agak tinggi dan satu profesion yang berpotensi untuk berkembang maju.

Menurutnya, ketika ini, Malaysia tidak begitu terkenal dalam industri perkapalan dunia khususnya dalam membekalkan pelaut jika dibandingkan dengan Filipina dan Indonesia.

Katanya, ketika ini juga banyak syarikat perkapalan dan persatuan perkapalan menawarkan latihan dan tajaan bagi menyertai kerjaya sebagai pelaut termasuk membantu sehingga mendapat pekerjaan.

Mengulas mengenai sambutan Hari Pelaut 2023, Loke berkata, program ini adalah bagi menghargai pelaut atas pengorbanan mereka dalam merancakkan perdagangan dan logistik antarabangsa.

“Sebanyak lebih 1,500 kapal bendera Malaysia yang aktif beroperasi hari ini, dan lebih daripada 10,000 pelaut tempatan sedang bertugas atas kapal ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya