Malaysia perlu bersedia terokai ekonomi baharu - Utusan Malaysia

Malaysia perlu bersedia terokai ekonomi baharu

ABANG Johari Tun Openg (tengah) bersama Tiong King Sing serta pemimpin-pemimpin GPS (berbaju putih) dan PDP (berbaju biru) di Perhimpunan Agung Tri-Tahunan (TGA) PDP di Bintulu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BINTULU: Malaysia perlu bersedia menerokai ekonomi baharu demi membangunkan negara yang maju sekali gus bergerak ke hadapan, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, Sarawak kini giat merangka dan melaksanakan dasar-dasar baharu dalam usaha membangunkan negeri serta bersedia menghadapi perubahan tersebut.

“Dalam konvensyen perpaduan baru-baru ini, saya ada tegaskan agar kita (Malaysia) harus mempunyai ekonomi baharu untuk kita bersaing dengan negara lain. Ini kerana ekonomi dunia sekarang sudah berubah, dan Sarawak perlu ada dasar bagi menghadapi perubahan ini.

“Sebab itu pendirian GPS kita tegaskan mahu perubahan, dan sekarang kita memberikan tumpuan kepada peralihan ekonomi, pada masa sama Sarawak giat menuju ke arah ekonomi baru menggunakan teknologi terkini dan menggunakan sumber negeri,” katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tri-Tahunan (TGA) Parti Demokratik Progresif (PDP) 2023 di Bintulu, hari ini.

Sementara itu, ketika ditemui media selepas majlis tersebut, Abang Johari memberi keyakinan pemimpin-pemimpin PDP mampu memainkan peranan dalam usaha bersama kerajaan membangunkan Sarawak, dan negara secara keseluruhannya.

“Saya nampak mesyuarat berjalan dengan baik dari semua dan mereka sudah mempunyai satu jawatankuasa yang saya yakin boleh menyesuaikan diri dengan perubahan politik yang ada.

“Di mana politik kita adalah satu platform untuk kita membangunkan negeri, negara dan juga masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing turut memberi amaran agar penduduk di Sarawak berwaspada dengan sesetengah politik ekstremis yang menggunakan isu agama demi kepentingan peribadi.

“Menjadikan agama sebagai propaganda dalam politik begitu bahaya dan dapat memberi kesan negatif kepada sebuah masyarakat yang berbilang agama, seperti di Malaysia ini.

“Oleh itu, ini adalah cabaran yang kita perlu hadapi iaitu cabaran kepada politik ekstrem yang mempergunakan agama serta politik perkauman yang semakin berleluasa ketika ini,” tegasnya.

Justeru King Sing berharap apa yang berlaku pada masa lalu dijadikan pengajaran dan iktibar kepada setiap individu dan masyarakat, ini kerana tanpa diduga kuasa dan pengaruh politik yang besar juga mampu tumbang tanpa diduga.

Perhimpunan itu menyaksikan King Sing kekal sebagai Presiden PDP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya