Lelaki warga asing cabul wanita direman tiga hari - Utusan Malaysia

Lelaki warga asing cabul wanita direman tiga hari

TANGKAP layar video tular lelaki disyaki meraba wanita di tapak pasar malam yang ditahan polis di Taman Perpaduan di Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki warga asing direman tiga hari selepas disyaki mencabul seorang wanita di tapak pasar malam di Taman Perpaduan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, perintah tahanan reman ke atas lelaki berusia 20 tahun itu bermula hari ini sehingga Jumaat depan.

Katanya, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

“Laporan polis berkaitan kejadian itu diterima semalam oleh mangsa berusia 36 tahun di mana suspek juga telah pun ditangkap pada hari sama.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu hingga menjejaskan siasatan polis dan kegusaran kepada masyarakat.

Terdahulu video berdurasi 14 saat tular di media sosial yang menunjukkan lelaki disyaki meraba seorang wanita di tapak pasar malam di Ipoh berjaya ditangkap pengunjung dan diserahkan kepada polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN