Lelaki mengamuk di restoran tidak dipanggil ‘baby’, 'abang' sudah ditahan

Lelaki mengamuk di restoran tidak dipanggil ‘baby’, ‘abang’ sudah ditahan polis

TANGKAP layar video tular seorang lelaki mengamuk di sebuah restoran kawasan Putra Height, Subang Jaya, Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang mengamuk di sebuah restoran kerana tidak dipanggil ‘baby’ dan ‘abang’ oleh pelayan restoran dalam video tular ditahan polis di sebuah premis di Jalan Samudera utara 2, Taman Samudera 68, Batu Caves dekat sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, hasil tangkapan dibuat pada pukul 1 pagi tadi mendapati suspek yang berusia 50 tahun adalah seorang penganggur.

“Suspek turut memiliki pelbagai rekod lampau membabitkan jenayah penipuan, mencuri, menghalang tugas penjawat awam dan ugutan jenayah. Suspek dibenarkan ditahan rema empat hari sehingga Selasa ini oleh Mahkamah Majistret Shah Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan dijalankan dibawah Seksyen 506  dan 352  Kanun Keseksaan dan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya selepas dilengkapkan.

Kelmarin, media melaporkan, seorang lelaki berang gara-gara tidak dipanggil dengan gelaran manja ‘abang’ atau ‘baby’ oleh pekerja restoran telah bertindak mengamuk membaling beberapa kerusi serta menendang meja di sebuah restoran sekitar Putra Heights.

Lelaki itu turut menjerit serta membaling bungkusan dan minuman panas sehingga terkena pada seorang kanak-kanak berusia empat tahun, namun didapati tiada kecederaan.

Difahamkan, pekerja lelaki itu telah memanggil suspek dengan panggilan ‘pak cik’, tetapi suspek meminta pekerja itu memanggil dirinya dengan panggilan ‘abang’ atau ‘baby’ namun tidak diendahkan oleh lelaki berkenaan.

Setelah pekerja mangsa menyerahkan bungkusan makanan dan minuman yang dipesan oleh suspek, dia terus bertindak agresif dengan menjerit memaki hamun serta mengugut mahu merosakkan harta benda kedai tersebut.

Suspek turut menendang meja beberapa kali sehingga mendatangkan ketakutan dan gangguan kepada pelanggan lain yang berada di dalam restoran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN