PETALING JAYA: Kerajaan dijangka memperuntukkan lebih RM1.8 bilion untuk membayar subsidi bagi industri ayam dan telur sehingga hujung tahun ini susulan pengumuman melanjutkan bantuan tersebut bermula 1 Julai ini.
Namun di sebalik kelegaan industri yang menerima suntikan subsidi serta kelegaan rakyat apabila harga ayam dan telur masih dikawal dan tidak diapungkan, beberapa wakil penternak ayam pedaging kontrak pula mempersoalkan langkah tersebut kerana mendakwa peruntukan itu bakal ‘hangus’ begitu sahaja.
Ini kerana usaha kerajaan tersebut tidak menyelesaikan isu pokok sektor itu termasuk ketiadaan lembaga unggas, tiada kawalan ke atas pengeluaran dan penetapan harga anak ayam serta dedak di pasaran.
Malah tiga wakil persatuan penternak ayam kontrak yang ditemui Mingguan Malaysia mendakwa, langkah kerajaan itu tidak sedikitpun membantu penternak kontrak kerana subsidi yang diperuntukkan kira-kira 90 peratus dijangka `disedut’ kartel.
Satu sumber penternak ayam wilayah tengah yang ditemui berkata, peruntukan sebesar itu sedang `diraikan’ kumpulan kartel kerana mereka akan menerima agihan besar berbanding diterima penternak kontrak.
Sumber berkata, sudahlah penternak kontrak terpaksa menanggung kos anak ayam dan dedak yang melambung, namun mereka cuma diberikan subsidi 10 sen bagi sekilogram ayam yang dipasarkan.
“Kerajaan bagi subsidi 70 sen sekilogram kepada kartel, sedangkan penternak kontrak cuma terima 10 sen. Sekarang cuba fikir, harga anak ayam mencecah RM2.30 seekor, harga dedak RM140 satu beg 50 kilogram. Itu semua penternak kontrak yang tanggung.
“Kami sudah ikat kontrak dengan kartel yang membekalkan anak ayam dan dedak. Mereka langsung tidak terkesan jika harga anak ayam atau dedak naik, sebab kos itu kami yang tanggung.
“Kemudian, mereka tipu invois harga ayam di peringkat ladang. Mereka buat invois tambahan yang menyatakan kononnya mereka kena tanggung upah tangkap ayam dan kos sewa bakul ayam, sedangkan kos-kos itu semua penternak kontrak macam kami yang tanggung,” katanya.
Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan menanggung pemberian subsidi dan kawalan harga bagi ayam serta telur sebanyak RM200 juta sebulan.
Salahuddin berkata, langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu rakyat dengan meneruskan pemberian subsidi dan kawalan harga ayam serta telur selepas 30 Jun ini.
Mengulas perkara itu, sumber membangkitkan kenyataan terdahulu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu pada 11 Mei yang berkata, subsidi ayam telur masih diuruskan dengan kadar subsidi kekal 70 sen kepada syarikat pembekal dan 10 sen buat penternak.
Sumber berkata, agihan 70 sen nisbah 10 sen sebegitu tidak membantu industri ternakan ayam kerana akan memberi keuntungan kepada kartel dan penternak bersepadu atau integrator, sedangkan penternak kontrak akan semakin tertindas.
Sementara itu, satu wakil penternak ayam kontrak wilayah selatan yang menghubungi akhbar ini berkata, kerajaan harus segera tubuhkan lembaga unggas bagi menyelia sektor yang sangat besar ini.
Katanya, oleh kerana sektor ternakan ayam dan telur membabitkan rantaian yang cukup kompleks termasuk proses import-eksport seperti baka induk tuai (GGPS) dan bahan mentah untuk dedak, justeru ia tidak mampu digalas cuma di bawah bahu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) semata-mata.
“Untuk mengimport baka GGPS dan ramuan dedak, itu memerlukan kementerian serta akta di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) misalnya.
“Kemudian sektor ayam juga ada kaitan dengan keselamatan makanan kerana import ternakan dari luar negara, itu memerlukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS). Itu baru soal import baka dan ramuan mentah.
“Belum lagi soal proses pengeluaran ayam dan telur. Jadi, sudah tentu sektor yang cukup kompleks ini tidak mampu diselia oleh cuma satu jabatan saja iaitu JPV,” kata sumber.
Untuk rekod, pada 30 Disember tahun lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan laporan khas menyatakan kos sebenar pengeluaran ayam dan telur.
DOSM berkata, komponen terbesar dalam kos pengeluaran ayam pedaging adalah makanan ternakan (65.1 peratus) dan kos pembelian anak ayam (16.0 peratus). – UTUSAN










