Kurang tenaga kerja punca gagal capai KPI

Parlimen: Kurang tenaga kerja punca Perkhidmatan Rawatan Pra-Hospital & Ambulans gagal capai KPI

DR. ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui kekurangan sumber manusia dalam kalangan paramedik dan pemandu ambulans dalam melaksanakan Perkhidmatan Rawatan Pra-Hospital dan Ambulans turut menjadi punca kepada ketidakcapaian indeks pencapaian atau KPI.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, masalah tersebut timbul susulan sumber manusia sedia ada tidak dapat dikhususkan bagi tugasan Perkhidmatan Rawatan Pra-Hospital dan Ambulans sahaja, malah turut ditugaskan dengan tugasan klinikal lain di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

“Proses pelaksanaan perkhidmatan ambulans buat masa ini lebih berpusat kepada hospital di mana ambulans yang berada di hospital hanya akan memberikan respons dan bergerak dari hospital yang berkaitan ke lokasi kejadian.

“Konsep perkhidmatan ini masih dilaksanakan atas sebab kekangan sumber manusia dan kenderaan ambulans,” katanya dalam sesi penggulungan di Dewan Negara.

Februari lalu, Perkhidmatan ambulans bagi KKM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilaporkan tidak mencapai sasaran berdasarkan audit yang dijalankan bermula pada tahun 2017 hingga 2021.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2, KKM hanya mencapai 41.8 peratus berbanding indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan iaitu 50 peratus.

Selain itu, Dr. Zaliha turut menjelaskan pengurusan respons kecemasan berdasarkan kepada panggilan adalah berdasarkan kepada jenis kecemasan yang diterima walaupun berdepan kekangan seperti kekurangan ambulans.

“Sebagai contoh, untuk kecemasan perubatan, ianya akan disalurkan kepada KKM. Tidak dinafikan bilangan ambulans di KKM sememangnya amat terhad namun adalah menjadi tanggungjawab pihak kementerian untuk memastikan segala kes yang memerlukan perkhidmatan ambulans dapat dipenuhi dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

“Antara inisiatif-inisiatif yang dilakukan adalah memperkukuhkan kerjasama perkhidmatan rawatan pra hospital dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), menambah lokasi hotspot ambulans. 

“Ini dapat dilaksana melalui kerjasama di antara KKM dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan St John Ambulans Malaysia (SJAM) di seluruh negara dan pelaksanaan projek rintis Klang Valley Ambulans Service (KVAS) yang bermula pada 1 Disember 2022 bagi memperbaiki masa tindak balas ambulans,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN