KPKT kuatkuasa 'bajet berasaskan prestasi' terhadap projek PBT - Utusan Malaysia

KPKT kuatkuasa ‘bajet berasaskan prestasi’ terhadap projek PBT

NGA Kor Ming melihat pelan pembinaan cadangan menaik taraf Pasar Awam Ayer Tawar ketika lawatan kerja di Manjung hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Berkuatkuasa tahun ini, semua peruntukan projek di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) khususnya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) akan berdasarkan ‘bajet berasaskan prestasi’.

Serentak itu, semua PBT yang memohon peruntukan projek di lokaliti masing-masing wajib mengemukakan tiga dokumen penting iaitu kajian kebolehlaksanaan, analisis kos dan manfaat serta unjuran pulangan terhadap pelaburan (ROI).

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ia sebagai usaha menjadikan setiap projek yang dilaksanakan di bawah KPKT benar-benar memberi manfaat dan keuntungan kepada rakyat, selain mewujudkan tata kelola pentadbiran yang baik.

“Mana-mana PBT yang menunjukkan prestasi baik, akan memperoleh peruntukan lebih, tetapi jika prestasi lembik atau kurang berupaya, maka demamlah, (iaitu) peruntukan akan dikurangkan,’ katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di kawasan Ayer Tawar, dekat sini hari ini.

Menurutnya, kajian kebolehlaksanaan diwajibkan bagi memastikan tiada lagi projek di bawah PBT yang dikategorikan sebagai projek ‘gajah putih’, boros dan membazir.

Beliau memberi contoh seperti di Perak sebelum ini banyak projek PBT yang dibina kemudian terbengkalai, seperti Kompleks Sejarah Pasir Salak di Kampung Gajah dan Rumah Peranginan Bukit Larut, Taiping.

Jelasnya, analisis kos dan manfaat pula mengkehendaki mana-mana PBT yang memohon peruntukan perlu menyertakan sekali perincian skop, kuantiti dan harga setiap projek atau dokumen ‘built of quantity’ (BQ) yang disediakan oleh Juruukur Bahan (QS).

“Ia bagi memastikan kos pembinaannya tidak melambung, tiada lagi kos projek RM10 tetapi kerajaan kena belanja RM50, ini tidak boleh.

“Kita perlu memastikan setiap kos projek menepati harga pasaran atau harga yang berbaloi,” tegas beliau.

Beliau memaklumkan, ROI pula bagi memastikan setiap projek bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat tetapi juga memberi nilai tambah terhadap projek tersebut.

Beliau memberi contoh, peruntukan RM3.5 juta yang disalurkan bagi membina semula Pasar Awam Ayer Tawar di sini bukan sahaja untuk menjadikannya pasar yang lebih baik tetapi juga boleh menjadi mercu tanda di pekan tersebut serta menjadi salah satu daya tarikan pelancongan di daerah Manjung.

Terangnya, usaha itu dilakukan bagi memastikan KPKT berada di hala tuju yang tepat iaitu tindakan berasaskan prestasi serta memupuk budaya kecemerlangan.

Selaras itu juga, beliau menjelaskan KPKT akan menganjurkan Anugerah Kegemilangan Emas, antara lain memilih Datuk Bandar terbaik, Yang Dipertua (YDP) paling cemerlang dan anugerah lain.

Selain itu, mana-mana pegawai kerajaan dalam KPKT yang bertugas cemerlang berpeluang menimba ilmu di universiti terkemuka dunia seperti Universiti Harvard dan Stanford di Amerika Syarikat dan Universiti Oxford di England.

Justeru, beliau menegaskan PBT sekarang perlu bersaing untuk menjadi yang terbaik dan percaya tiada YDP yang mahu berada pada kedudukan tercorot dalam senarai prestasi berasaskan sistem penarafan bintang yang dilaksanakan KPKT.

“Bayangkan jika ada YDP hanya memperolehi satu bintang berkongsi pentas dengan mereka yang mendapat lima bintang, pastinya mereka (yang mendapat satu bintang) akan bekerja lebih bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kedudukan PBT diterajuinya.

“Saya yakin banyak PBT berasa bersemangat di bawah kepimpinan sekarang seperti mana Manjung yang berpotensi dinaik taraf menjadi sebuah bandar raya,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya