JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk memperkasa potensi ekonomi sempadan di negeri ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, satu jawatankuasa bersama antara kedua-dua pihak akan ditubuhkan agar perbincangan dapat dibuat secepat mungkin.
Katanya, potensi perniagaan itu melibatkan dua buah negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia.
“Saya akan hubungi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam tempoh terdekat supaya mesyuarat khas dibuat agar kita dapat kenal pasti peluang dan lokasi strategik untuk pelaksanaan ekonomi sempadan ini.
“Perlu ada Jawatankuasa Bersama antara KPDN dengan kerajaan Johor untuk membangunkan secara besar-besaran mengenai prospek dan peluang ekonomi sempadan melibatkan Singapura dan Indonesia.
“Sebagai contoh, sektor perkhidmatan yang telah dibangunkan secara komersial adalah industri pembersihan seperti mencuci kereta yang memberi pulangan lumayan, jadi kenapa kita tidak teroka bidang lain untuk merancakkan lagi kegiatan ekonomi tempatan di kawasan sempadan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan daging korban kepada masyarakat di Parlimen Pulai pada Majlis Ibadah Korban di Bandar Baru Uda, di sini hari ini.
Tambah beliau, KPDN juga akan melakukan libat urus dengan kerajaan Sabah dan Sarawak memandangkan kedua-dua sempadan di wilayah Borneo itu juga memiliki potensi ekonomi komersial yang besar.
“Itu yang sedang dirancang ketika ini, selepas Johor kita adakan sesi libat urus di Sabah dan Sarawak pula kerana sempadan sana mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan.
“Hal ini juga merupakan limpahan ekonomi kepada pembangunan ibu negara baharu Indonesia baharu iaitu di Nusantara, jadi kita perlu ada perancangan awal, tidak boleh ketinggalan,” jelasnya. – UTUSAN