PETALING JAYA: Kepemimpinan Pas diminta belajar daripada negara Islam yang juga berkuasa besar di peringkat antarabangsa seperti Arab Saudi, yang maju dan berkembang dalam sektor pelancongan mereka, tanpa menafikan hak orang lain yang berbeza agama.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sekiranya kejadian kompaun wanita bukan Islam yang dikatakan berpakaian tidak sopan berulang, maka ia boleh memberi kerisauan dan impak besar kepada penduduk tempatan dan pelancong.
Jelasnya, situasi itu sekali gus menjejaskan sektor pelancongan negeri.
“Susulan seorang peniaga wanita dikompaun oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) kerana didakwa berpakaian tidak sopan baru-baru ini, saya sekali lagi ingin mengingatkan kepada semua pihak, tidak kira parti, agama atau bangsa sekali pun bahawa Malaysia sebuah negara bermasyarakat majmuk.
“Lainlah kata kalau wanita tersebut tidak berpakaian, tambahan pula beliau pada ketika itu berada di dalam premis perniagaan sendiri, bukannya di kawasan tumpuan awam seperti bangunan kerajaan yang memerlukan orang awam mematuhi kod etika berpakaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, MPKB-BRI mengenakan kompaun kepada seorang peniaga wanita bukan Islam selepas didapati memakai pakaian tidak sopan ketika berada di premis perniagaan.
Mengulas lanjut, King Sing berkata, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.’
Malah, katanya, Perkara 8 juga jelas menunjukkan bahawa kesamarataan dilindungi dan mengharamkan sebarang diskriminasi termasuk atas alasan agama, keturunan, tempat lahir mahupun jantina.
“Ini mencerminkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang agama dan kaum yang aman sentosa.
“Sekali lagi ditegaskan bahawa saya sebagai golongan bukan Islam tidak sesekali menafikan atau mempersoal mana-mana agama atau kaum di negara ini.
“Sebagai warganegara Malaysia yang cintakan tanah airku, saling hormat menghormati, meraikan kepelbagaian serta saling berkasih sayang, kita perlu mendukung Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada kekuatan Malaysia selama ini,” katanya. – UTUSAN