KKM mohon tambah peruntukan jayakan Kertas Putih Kesihatan

KKM mohon tambah peruntukan jayakan Kertas Putih Kesihatan

Kegagalan kelancaran pro­ses pengisian sistem e-penempatan itu telah menyusahkan banyak pihak termasuk mengganggu operasi fasiliti kesihatan awam khususnya membabitkan klinik dan hospital kerajaan luar bandar yang kini berdepan kekurangan tenaga kerja.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memohon tambahan peruntukan dalam Belanjawan 2024 bagi mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik khususnya bagi mengurangkan kes kesesakan di hospital.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara berkaitan perbelanjaan itu turut termasuk dalam tonggak ketiga Kertas Putih Kesihatan iaitu cadangan pembaharuan sistem kesihatan dalam aspek perbelanjaan.

“Ini kerana ketika ini perbelanjaan kerajaan dalam sektor kesihatan adalah sebanyak 2.93 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

“Kerajaan juga akan mengkaji menggabungkan dana-dana kesihatan bagi meningkatkan perkhidmatan untuk rakyat termasuk meningkatkan pelaburan dari 2.93 peratus daripada KDNK sekarang kepada lima peratus,” katanya di sini semalam.

Dalam Belanjawan 2023 lalu, KKM menerima peruntukan kedua terbesar iaitu sebanyak RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Kelmarin, Penasihat Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Arif­fin Omar berpandangan, strategi Kertas Putih Kesihatan tidak akan mengubah sektor kesihatan jika kerajaan gagal menambah bajet kepada KKM sekali gus matlamat mereformasikan sektor kesihatan awam negara ini tidak akan dicapai.

Walaupun Ker­tas Putih Kesihatan dirangka se­cara komprehensif serta me­nge­nal pasti isu cabaran masa kini dan akan datang, perkara itu mesti mempunyai dana.

Namun, dengan bajet sekarang cuma RM36 bilion setahun untuk tambah baik fasiliti, pendigitalan kesihatan dan sumber manusia, matlamat melaksanakan semua yang dirancang seperti dinyatakan Kertas Putih Kesihatan memang tidak mencukupi.

Kertas Putih Kesihatan yang dimuat naik dalam laman web kementerian menggariskan empat tonggak dan 15 strategi antara lain menyentuh kajian semula komprehensif pengambilan perjawatan petugas kesihatan termasuk berstatus kontrak serta membangunkan pakej manfaat kesihatan rakyat.

Strategi di bawah tonggak ketiga Kertas Putih Kesihatan itu bertujuan memastikan pembiayaan kesihatan yang saksama merangkumi reformasi pembiayaan kesihatan agar lebih mampan, mempunyai perlindungan risiko kewangan lebih baik dan mengurangkan perbelanjaan duit poket sendiri.

Dua lagi strategi dicadangkan adalah meningkatkan pelaburan kesihatan di bawah pengurusan sektor awam secara berperingkat dengan mengambil kira kedudukan dan kemampuan fiskal kewangan kerajaan, kerjasama strategik pelbagai sektor dan penggunaan sumber serta aset merentasi pelbagai pihak berkepentingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN