Ketua jabatan, pegawai atasan digesa kerap turun lapangan - KSN

Ketua jabatan, pegawai atasan digesa kerap turun lapangan – KSN

MOHD. Zuki Ali ketika bual bicara pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 Program Sarjana Pengurusan Awam di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua ketua jabatan dan pegawai atasan diingatkan kerap turun ke lapangan bagi memastikan arahan mengenai dasar-dasar kerajaan dapat disampaikan sehingga ke peringkat bawahan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, sebagai seorang ketua, mereka bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan menjayakan organisasi masing-masing tanpa kebergantungan terhadap orang bawahan semata-semata.

“Saya pernah lihat situasi orang beratur panjang (tapi) pukul 10 pagi dia (kakitangan) dah pergi minum, sebab itu bagi saya, ketua-ketua yang ada ini walaupun tegas, mereka juga perlu kerap turun ke bawah, jangan harap hanya orang di bawah melaksanakan tugas.

“Sudah tentu sebagai KSN (saya) tak sempat nak pergi ke semua tempat tetapi apa yang mustahak, kita beritahu apa visi yang kita mahu, apa yang mesti dilaksanakan (dan) orang bawah terjemahkan apa yang kita nak buat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi bual bicara bertajuk ‘Dinamika Pentadbiran KSN: Pengalaman Mengurus Krisis’ sempena Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Program Sarjana Pengurusan Awam Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama KSN di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika berkongsi pengalamannya menangani krisis, Mohd. Zuki berkata, ketika mengambil alih tampuk pentadbiran awam pada Januari 2020, isu defisit kepercayaan antara kerajaan dengan penjawat awam agak kritikal.

“Sebenarnya tidak, kita sebagai penjawat awam kita berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah pada hari ini, malah kita orang paling cepat bertindak selepas tukar kerajaan kerana itu kesetiaan kita.

“Apabila kita bercakap mengenai berkhidmat untuk kerajaan sedia ada, tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Itu lah yang paling kritikal sebenarnya nak sampaikan ke bawah,” ujarnya.

Mohd. Zuki turut berkongsi mengenai cabaran dan pengalamannya berdepan dengan peralihan kerajaan melibatkan empat perdana menteri dan ketika pandemik Covid-19 melanda negara, apabila pada masa yang sama perlu menyeimbangkan antara perkhidmatan awam dan kesihatan rakyat.

“Bayangkan arahan kerajaan ketika itu (Covid-19) hanya 30 peratus kehadiran staf ke pejabat sebab perintah kawalan pergerakan (PKP) tetapi kerja tetap berjalan 100 peratus.

“Rakyat marah sebab mereka ‘dikurung’ dan pada masa sama orang lain nak cari makan, itu antara cabaran bagaimana untuk mengimbangi antara kesihatan dan jaga ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Shahimi Mohtar berkata, sehingga kini program Sarjana Pengurusan Awam melahirkan lebih 1,000 graduan tempatan dan antarabangsa iaitu merupakan antara program sarjana terawal ditawarkan universiti berkenaan sejak 2001.

Jelasnya, setiap graduan yang dilahirkan menerusi program tersebut dilengkapi dengan ilmu, kemahiran dan keupayaan bagi mengurus dan mentadbir cabaran semasa selain mempunyai daya upaya untuk menghasilkan dampak positif kepada organisasi serta masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya