KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah boleh menarik nafas lega apabila Ketua Audit Negara yang baharu telah dilantik, menyaksikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi menyandang jawatan itu berkuat kuasa, esok.
Ini selepas Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Dewan Rakyat minggu lalu menggesa kerajaan mengisi jawatan itu yang telah kosong selama empat bulan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, pelantikan Wan Suraya dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan perundingan dengan Majlis Raja-Raja.
“Dimaklumkan bahawa selaras dengan Perkara 105 (1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, memperkenan pelantikan Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai Ketua Audit Negara berkuat kuasa mulai 13 Jun 2023.
“Pelantikan beliau adalah berdasarkan kepada kepimpinan dan pengalaman luas sepanjang 29 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isu pelantikan Ketua Audit Negara timbul selepas Mas Ermieyati minggu lalu memberitahu tidak wajar untuk usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 dibahas kali pertama di Dewan Rakyat.
Jelasnya, jawatan Ketua Audit Negara masih kosong selama empat bulan sejak penyandangnya, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid telah tamat perkhidmatan, Februari lalu.
Disebabkan itu, katanya, LKAN tidak dapat dibentang dan hanya Ketua Audit Negara boleh mengemukakan LKAN kepada Yang di-Pertuan Agong, yang akan memperkenan laporan itu dibentang di Dewan Rakyat, selaras Perkara 107 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga menggesa kerajaan mengisi jawatan Ketua Audit Negara dengan melantik individu berlatar belakang bidang perakaunan dan pengauditan serta berharap kerajaan menghentikan amalan pelantikan bekas ketua setiausaha (KSU) kementerian bagi mengisi jawatan itu.
“Ini kelemahan utama kerajaan dan memandang rendah pada institusi audit ini. Kita di sini pula mahu bahas laporannya. Perlu ingat, LKAN ini ialah orang yang bertanggungjawab kepada laporan ini yang mesti berada di sini (Dewan Rakyat) untuk menjawabnya,” kata Mas Ermieyati sebelum ini.
Dewan Rakyat minggu lalu kecoh apabila pembangkang bersepakat supaya usul LKAN tidak dibahas dalam persidangan atas alasan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
LKAN yang telah dibentang di Dewan Rakyat pada 16 Februari 2023 terdiri daripada LKAN 2021 Siri 2 mengenai aktiviti kementerian/jabatan kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan, LKAN 2021 mengenai Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan dan LKAN 2021 Siri mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan. – utusan