KUALA LUMPUR: Seramai 200 ahli perniagaan menyertai seminar Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bangladesh-Malaysia (BMCCI) untuk memperluas aktiviti perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Bangladesh.
Pemangku Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, seminar itu untuk melihat secara mendalam tentang peluang pelaburan dan perniagaan antara kedua-dua buah negara.
“Malaysia sekarang bergerak pantas untuk menjadi pelabur antarabangsa dengan menarik pelabur di peringkat global. Selain itu,, tujuan seminar hari ini adalah untuk mengekalkan Malaysia sebagai negara pelaburan yang semakin stabil,” katanya pada program Peluang Perdagangan dan Pelaburan Bangladesh anjuran di BMCCI di sebuah hotel di sini, hari ini.
Norsyahrin berkata, Malaysia kini bersedia menyokong usaha dan aktiviti yang melibatkan antarabangsa.
“Usaha yang sedang kami dilakukan adalah untuk menambah baik aktiviti import dan eksport antara kedua-dua negara. Usaha ini akan memperkukuh lagi hubungan antarabangsa Malaysia dan Bangladesh,” katanya.
Sementara itu, BMCCI akan mengadakan Pameran Malaysia yang keenam di Pan Pacific Sinargaon Dhaka, Bangladesh pada 31 Ogos hingga 2 September ini.
Pendaftaran awal akan dibuka kepada orang ramai bermula 30 Jun sehingga 31 Julai tahun ini. – UTUSAN