JERANTUT: “Saya hanya ambil upah kutip sayur, kupas kulit bawang dan kadangkala dipanggil membersihkan rumah orang. Mana mampu membaiki kerosakan rumah atau beli peralatan bina rumah baharu.”
Demikian luahan mangsa ribut, Wan Sazli Wan Said di Kampung Paya Teh di sini berhubung keadaan kehidupannya ketika ini setelah rumahnya rosak dipukul ribut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Sazli berkata, ketika kejadian pada 26 Mei lalu, rumahnya rosak teruk mengakibatkan 13 keping atap zink dan dua buah jalur perabung diterbangkan angin kencang.
“Saya tidak dapat berkata apa-apa melihat kerosakan ini dan cuma memikirkan bagaimana hendak mencari wang bagi membaik pulih rumah,” katanya.
Terdahulu, Wan Sazli dikunjungi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak yang juga caretaker Parlimen Jerantut, Haris Salleh Hamzah bagi menyampaikan bantuan barang keperluan dapur dan wang tunai bersama kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jerantut.
Menurut Wan Sazli, dia ketika ini buntu memikirkan bagaimana hendak mencari wang membaik pulih rumahnya itu memandangkan pendapatannya tidak mencukupi.
“Pekerjaan harian saya hanya mengambil upah mengutip sayur di kebun pengusaha tanaman, mengupas dan membuang kulit bawang dan memperoleh bayaran jika dipanggil oleh pemilik untuk membersihkan rumah di kawasan ini dan berdekatan,” katanya.
Sementera itu, Haris Salleh berkata, keluarga Wan Sazli dipindahkan ke rumah sewa di kampung itu dan bayaran pendahuluan sewa diuruskan Pejabat Penyelaras DUN Damak.
“Urusan pemindahan dan pendahuluan sewa kediaman, kita lakukan segera bagi mempercepatpemulihan keluarga ini, manakala Wan Sazli kembali bekerja untuk memperoleh pendapatan harian.
“Pejabat Penghulu Mukim di sini akan menguruskan permohonan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) bagi membaik pulih kediaman yang rosak termasuk keperluan tertentu kepada keluarga ini,” katanya. – UTUSAN










