SEREMBAN: Projek perumahan PR1MA Residensi Rantau di Bandar Ekar, Rantau di sini antara projek yang mengalami masalah lewat siap.
Projek yang melibatkan pembinaan lebih 750 buah unit rumah itu juga disenaraikan sebagai projek perumahan sakit oleh Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sehingga 31 Mac yang lalu.
Seorang pembeli projek berkenaan, K. Thinesh, 35, berkata, dia membeli rumah di projek perumahan tersebut pada tahun 2017 dan sepatutnya ia disiapkan pada tahun 2019.
“Dahulu semasa beli rumah ini, saya belum mempunyai anak namun kini anak saya sudah berumur enam tahun tetap ia belum disiapkan.
“Pelbagai janji diberikan untuk rumah ini disiapkan, sebelum ini kami dimaklumkan projek ini akan disiapkan menjelang bulan Mac lalu namun ia masih gagal disiapkan.
“Kini pemaju memaklumkan kepada para pembeli tarikh baharu jangkaan siap projek ini adalah pada suku pertama tahun hadapan pula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya lagi, walaupun menerima pembayaran pampasan Denda Lewat Penyerahan Rumah (LAD) oleh pemaju namun ia tidak menyelesaikan masalah dihadapi pembeli ekoran kelewatan projek itu.
“Saya masih perlu membayar rumah sewa rumah yang diduduki sekarang malah pelbagai perancangan sering terganggu ekoran tarikh siap yang sering bertukar-tukar,” katanya yang memaklumkan tahap pembinaan projek tersebut kini mencapai lebih 85 peratus.
Seorang lagi pembeli, Mohd. Aizuddin Zulfaka Ali, 30, berkata, selepas dua kali pilihan raya umum dengan Perdana Menteri, menteri yang bertanggungjawab juga silih berganti namun projek PR1MA Rantau tetap belum disiapkan.
“Jika diikutkan memang sudah tawar hati dengan janji demi janji yang ditaburkan, tetapi mahu atau tidak tentu saya mengharapkan ia segera disiapkan, ini adalah rumah idaman saya sekeluarga.
“Memang kami sudah menerima LAD tetapi apa yang lebih penting kami hanya mahu rumah kami siap. Pelbagai usaha telah kami buat untuk mendesak projek ini disiapkan dengan segera, tidak kisah apa parti politik sekali pun yang mentadbir setakat ini sama sahaja,” katanya lagi.
Difahamkan, isu pertukaran kerajaan pada tahun 2018 diikuti pula dengan berlakunya pandemik Covid-19 dengan ditambah kekurangan buruh asing menyebabkan projek PR1MA Residensi Rantau tergendala.
Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya akan memastikan tiada lagi projek sakit membabitkan PR1MA menjelang tahun hadapan. – UTUSAN











