PETALING JAYA: Pelaksanaan kempen secara fizikal dan tradisional menjelang pilihan raya negeri pada waktu kini masih relevan dan memberi impak positif bagi menarik pengundi.
Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan pada zaman sekarang perlu ada kombinasi elemen pendekatan baru dan lama.
Menurut beliau, kempen yang dilaksanakan secara terus bersemuka membolehkan orang ramai yang hadir dapat mengambil kesempatan tersebut untuk menilai calon-calon yang bertanding pemerhatian yang mereka lakukan.
Jelasnya, postingan yang dimuat turun oleh parti politik di media sosial yang juga merupakan sebahagian daripada kempen adalah tidak mencukupi.
“Bagi segala persoalan dan maklumat yang diperlukan segera, orang ramai akan lebih selesa untuk datang ceramah yang diadakan secara terbuka.
“Ini kerana dengan melalui cara tersebut ceramah yang disampaikan semestinya daripada calon yang bertanding, maka orang ramai hanya mendapat maklumat dari sumber pertama bukannya dengan melalui orang tengah,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, walaupun peredaran zaman mungkin berubah, cara traditional perlu dikekalkan kerana memberikan impak yang besar bagi menunjukkan kekuatan parti tersebut.
“Misalnya kehadiran masyarakat yang hadir ke ceramah dan sambutan mereka melambangkan terdapat sokongan terhadap kempen parti itu,” kata beliau.
Dalam masa yang sama, Ismail berkata, pendekatan baharu iaitu penggunaan digital juga penting untuk membantu keberkesanan perjalanan kempen.
Sementara itu, Pakar Geostrategis dan Felo Kanan, Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hassan berpendapat, salah satu kaedah utama untuk meraih sokongan adalah dengan mengkaji pemikiran rakyat setempat.
Sebagai contoh, katanya, kempen pilihan raya dengan menggantung bendera atau poster berkenaan parti politik dan calon yang bertanding dapat mempengaruhi persepsi masyarakat.
“Semakin banyak poster dan bendera parti politik yang dikibarkan, maka orang awam akan beranggapan bahawa parti tersebut berpengaruh dan kuat.
“Situasi tersebut juga akan turut dipengaruhi jika pengundi yang masih keliru untuk memilih calon pemimpin pilihan, maka semestinya mereka akan memilih parti yang besar dan dapat memberi jaminan bagi mereka,” ujarnya. – UTUSAN











