Kematian sekutu rumitkan pencarian Jho Low

Kematian sekutu rumitkan pencarian Jho Low

jho low
Jho Low
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kematian rakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dilihat menyulitkan usaha pihak berkuasa mengesan kedudukan terkini beberapa individu dikehendaki dalam siasatan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu bertambah sulit ekoran timbul dua persoalan berkenaan lokasi sebenar Jho Low sama ada lelaki tersebut kini benar-benar berada di Macau atau dalam tahanan rumah di Shanghai, China.

Hal ini timbul pada waktu sama dengan kematian sekutunya yang meninggal dunia akibat strok pada Isnin lalu selepas tiga minggu dibawa pulang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke negara ini.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia berkata, lelaki berusia 56 tahun itu antara sekutu yang rapat dan mengetahui keberadaan Jho Low sejak dia menghilangkan diri lima tahun lalu.

“Lelaki berkenaan dipercayai ada bertemu Jho Low dan buruan lain melibatkan kes 1MDB sepanjang persembunyian,” katanya.

Mengulas lanjut, kata sumber itu, meskipun suspek telah meninggal dunia, siasatan SPRM terhadap ahli perniagaan tersebut masih berjalan dan terbaharu agensi tersebut berjaya mengesan kembali kira-kira AS$5 juta aset dan wang tunai 1MDB di Singapura.

“Siasatan SPRM tetap berjalan bagi mendapatkan semula dana-dana 1MDB yang dikaitkan dengan mendiang,” jelasnya.

Ditanya tentang laporan Jho Low berada di Shanghai, sumber berkata, masih terlalu awal untuk mengesahkan lokasinya kerana ahli perniagaan itu mungkin menggunakan kebenaran khas atau pasport asing untuk tinggal di mana-mana negara yang dia mahu.

“Kalau benar dia dikenakan tahanan rumah di Shanghai seperti yang dilaporkan sebuah media antarabangsa, pihak negara terbabit perlu memberi maklum balas terhadap notis merah yang dikenakan terhadap ahli perniagaan itu,” katanya.

Terdahulu, Jho Low dipercayai berada bawah tahanan rumah di Shanghai, China dan bukannya di Macau.

Perkara itu dinyatakan oleh pengarang bersama Billion Dollar Whale, Bradley Hope menerusi ciapan Twitternya kelmarin.

Dalam pada itu, keluarga kepada ahli perniagaan, Kee Kok Thiam yang disiasat SPRM menggesa orang ramai supaya tidak melayan sebarang spekulasi mengenai kematian individu itu.

Firma guaman yang mewakili keluarga si mati, Valen, Oh and Partners dalam kenyataan berkata, Kok Thiam meninggal dunia di hospital selepas diserang angin ahmar secara tiba-tiba Isnin lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN