Kelantan umum bubar DUN hari ini

Kelantan umum bubar DUN hari ini

Menteri Besar, Ahmad Yakob dijangka mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan dijangka mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini bagi membolehkan rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengumuman itu secara tidak langsung membuka ‘gelanggang’ kepada Pas dan gabungan Pakatan Harapan (ph) serta Barisan Nasional (BN) untuk merebut 45 kerusi DUN yang dipertandingkan sekali gus memikat hati rakyat untuk dipilih sebagai kerajaan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pada PRN kali INI, Pas selaku kerajaan yang mentabir negeri ini selama 33 tahun mengesahkan parti itu akan bertanding di 37 kerusi DUN.

Baki lapan lagi kerusi diserahkan kepada rakan sekutu mereka iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Daripada jumlah tersebut, Bersatu yang hanya mempertahankan satu kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, selebihnya mencabar kawasan milik BN menggunakan simbol bulan sebagaimana yang diterjemahkan menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya sebelum ini.

Bagi BN pula, selaku ‘orang lama’ di Kelantan mereka akan bertanding di 31 kawasan termasuk mempertahankan tujuh kerusi yang dimenangi pada PRN lalu.

Selebihnya, baki kerusi itu diserahkan kepada rakan sekutu iaitu Pakatan Harapan (PH) dalam usaha merampas tampuk pentadbiran kerajaan negeri pada penggal akan datang.

Kerjasama yang dibentuk antara BN dan PH selepas PRU-14 lalu menyaksikan PRN di Kelantan kali ini pertembungan dua penjuru antara Pas dengan gabungan tersebut.

Jika pertembungan dua penjuru itu menjadi kenyataan, berkemungkinan besar Pas dijangka ‘berpeluh’ untuk mengekalkan terajui pentadbiran di negeri ini.

Bagaimanapun, kemasukan bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa ke dalam Pas dilihat memberi sedikit kekuatan kepada Pas.

Bagi BN ‘kehadiran’ Annuar ke dalam Pas tidak menggerunkan parti tersebut pada PRN kali ini.

BN pastinya sudah mempunyai ‘buah kilas’ untuk memujuk pengundi dan ahlinya untuk terus kekal bersama dacing selain memangkah PH.

Semua itu terserah kepada rakyat Kelantan untuk kekal atau tukar pada PRN kali ini. – UTUSAN

 

INFO

Jumlah Pengundi : 1.5 juta (termasuk perantau).

Bilangan DUN : 45

Kerusi yang bakal ditandingi
1. Pas : 37
2. Bersatu : 8
4. BN: 31
5. PH: 14

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN