Kawasan batu penyu terbiar, tidak terurus

Kawasan batu penyu terbiar, tidak terurus

WAN Mohd. Rosli Wan Ngah menunjukkan keadaan di kawasan batu penyu yang terbiar di Bukit Che Hawa, Rantau Abang, Dungun, Terengganu. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Pelancong yang mengunjungi kawasan batu penyu di Bukit Che Hawa, Rantau Abang dekat sini kecewa dan terkilan apabila lokasi itu kini terbiar serta tidak terurus.

Tinjauan di kawasan tersebut mendapati, bumbung yang menempatkan batu penyu yang dipercayai menjadi tarikan untuk penyu bertelur juga musnah selain lalang dan rumput memenuhi kawasan berkenaan serta struktur batu tersebut terjejas.

Seorang pengunjung, Azizul Hafiz, 34, dari Yan, Kedah berkata, dia yang membawa anak dan isterinya untuk melihat batu penyu itu terkejut mendapati kawasan tersebut tidak dijaga.

“Saya ke Terengganu untuk bercuti dan alang-alang ke Rantau Abang, kami singgah ke kawasan batu penyu ini untuk melihat batu besar yang menyerupai penyu.

“Pada awalnya, kami sangat teruja sebab ingin bergambar dengan batu penyu yang besar. Namun bila kami sampai, memang agak kecewa tengok kawasan ini langsung tak dijaga. Bumbung rosak, kawasan penuh semak samun, hanya indah khabar daripada rupa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu seorang penduduk, Mohd. Rozi Embong, 42, berkata, kawasan tersebut yang dahulunya menjadi tumpuan pelancong berubah menjadi suram.

“Batu penyu ini memang sinonim dengan penduduk Rantau Abang dan Dungun. Sebelum ini memang ramai yang berkunjung ke sini, namun selepas batu penyu ini tak dijaga rapi, semakin kurang pengunjung.

“Kita harap pihak bertanggungjawab baiki dan pulihara kawasan ini. Kita tak nak kawasan sejarah yang menjadi mercu tanda kawasan pendaratan penyu ini lenyap,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia kawasan Dungun, Wan Mohd. Rosli Wan Ngah berkata, pihaknya akan berusaha berbincang dengan beberapa pihak bertanggungjawab untuk mencari jalan terbaik bagi memulihara kawasan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×