Kalimah Allah: Pembangkang kemuka usul Akta Tafsiran - Utusan Malaysia

Kalimah Allah: Pembangkang kemuka usul Akta Tafsiran

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan usul Akta Tafsiran bagi membincangkan hal berkaitan tafsiran kalimah Allah menerusi surah al-Ikhlas.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sesiapa saja sama ada umat Islam atau bukan Islam selepas ini boleh menggunakan kalimah Allah namun hanya menerusi tafsiran surah tersebut dan usul tersebut sudah dikemukakan oleh Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail.

Jelas bekas Menteri Dalam Negeri itu, sesiapa saja sama ada umat Islam atau bukan Islam selepas ini boleh menggunakan kalimah Allah namun hanya satu tafsiran iaitu menerusi surah al-Ikhlas.

“Tuhan itu esa dan tidak boleh disamaratakan dengan yang lain. Tiada tuhan lain kecuali Allah. 

“Seorang Ahli Parlimen kita (PN) menghantar usul persendirian dan kita akan bawa supaya kerajaan sedar ia salah satu cara selesaikan isu itu buat selamanya,” katanya pada majlis Dialog PN Parlimen Sungai Besar, Sungai Besar dan Sabak Bernam di Markas Pas Simpang Lima, malam tadi.

Utusan Malaysia minggu lalu melaporkan isu kalimah Allah tidak wajar dibincang dan dibahaskan secara terbuka sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Keputusan menarik balik semula rayuan terhadap penggunaan kalimah itu dan tiga perkataan lain iaitu Kaabah, Baitullah dan solat dibuat selepas isu tersebut dirujuk kepada mufti-mufti serta Raja-Raja Melayu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, isu tersebut sudah beberapa kali dijelaskan termasuk ketika di dalam Parlimen mengenai penggunaan kalimah tersebut yang dikhaskan kepada umat Islam di Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu Hamzah memaklumkan, usul tersebut terpulang kepada kerajaan sama ada mahu menerima untuk di bawa dalam sidang Dewan Rakyat atau sebaliknya.

“Saya juga mahu tengok apa kerajaan cakap (berkaitan usul berkenaan) nanti,” ujarnya.

Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Ini berikutan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN