Kalimah Allah: Guna pendekatan bijak, tertib, toleransi tinggi - Sultan Selangor - Utusan Malaysia

Kalimah Allah: Guna pendekatan bijak, tertib, toleransi tinggi – Sultan Selangor

Kalimah Allah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu semua pihak mengambil pendekatan bijak, tertib dan semangat toleransi tinggi dalam berhadapan isu sensitif terutama berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Baginda berkenan menyokong titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan rakyat di negara ini tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.

“Baginda mahu semua pihak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti dinyatakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan di mana rakyat juga perlu menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.

“Sama seperti Yang di-Pertuan Agong, baginda turut menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah Allah yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional serta kesejahteraan negara,” titah baginda, hari ini.

Sultan Sharafuddin menambah semangat bersatu padu rakyat hendaklah terus disemai dan dididik di semua peringkat bersama nilai murni hidup bermasyarakat serta mengekalkan keharmonian.

“Bagi membina sebuah negara berwibawa dan bermaruah, rakyat dan ahli politik perlu membuang sebarang agenda retorik yang boleh membawa perpecahan. Tanpa perpecahan, Malaysia mempunyai potensi amat besar untuk menjadi sebuah negara maju dan disegani,” ujarnya.

Bulan lalu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berpegang teguh dan menjunjung titah Sultan Selangor berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama Kristian.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menzahirkan kekesalan dengan tindakan unilateral Kerajaan Perpaduan yang menarik balik rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan tanpa berunding dengan MAIS dan pihak lain yang mempunyai kepentingan.

MAIS berpendirian kes itu bukan hanya berkaitan isu pentadbiran dan keselamatan namun melibatkan perkara akidah orang Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Raja sebagai Ketua Agama Negeri.

Semua pihak termasuk ahli politik diminta menghormati kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri dan merujuk kepada Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di Selangor sebelum membuat apa-apa dasar atau keputusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya