SUBANG JAYA: Sebarang kenyataan yang bercanggah dengan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) tidak dialu-alukan walaupun dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin parti komponen apabila didakwa tidak membantu jentera BN-PH dalam pilihan raya di enam negeri kali ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang kenyataan dikeluarkan pemimpin-pemimpin utama parti dalam komponen BN yang tidak disahkan atau mewakili pendirian rasmi kepemimpinan dilihat bersifat pendapat peribadi.
Justeru itu, beliau meminta parti-parti dalam BN jangan melayan pendapat individu kerana akan dipersepsikan bahawa tiada tahap kebersamaan.
“Sudah tentunya dalam situasi genting ini tidak perlu ada isu-isu dibangkitkan kerana kenyataan dikeluarkan pemimpin dalam parti kompenan itu pendapat peribadi mereka.
“Begitu juga parti-parti dalam BN, kita minta jangan melayani pendapat individu itu yang tidak disahkan kepemimpinan parti.
“Bagaimanapun, saya ucapkan terima kasih kerana kepemimpinan utama MIC, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) memang mendokong PRN yang kita akan hadapi ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Bahagian Asia Pasifik ke-23 di Hotel Sunway Resort, di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam menerusi wawancara dengan sebuah portal berita berkata, MCA dan MIC umpama ‘biawak hidup’ yang dipikul UMNO kerana tidak mampu meraih sokongan Cina dan Melayu untuk menyokong BN.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, buat masa ini kerjasama antara BN dan PH berada pada tahap terbaik.
“Kita sentiasa memegang kepada pendirian rasmi kepemimpinan utama tiap-tiap parti komponen yang berada dalam BN dan juga parti dalam Pakatan Harapan,” ujarnya. – UTUSAN