Jangan hanya jadi pelengkap kerajaan, UMNO perlu kembali berkuasa

Jangan hanya jadi pelengkap kerajaan, UMNO perlu kembali berkuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO perlu mempunyai pelan strategik supaya boleh kembali berkuasa sepenuhnya dan bukan sekadar menjadi pelengkap dalam penubuhan sesebuah kerajaan.

Menegaskan perkara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata, parti itu tidak akan menjadi pilihan orang Melayu seperti dulu jika UMNO hanya sekadar sampingan semata-mata. 

“Tidak ada sebab untuk orang Melayu memilih untuk dinaungi oleh UMNO sekiranya peranan dan kedudukan UMNO hanyalah sebagai sebuah parti pelengkap di dalam kerajaan.

“Justeru, UMNO Johor menggesa bahawa di sebalik apa jua penjajaran dan dinamika politik baharu UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan, ia mestilah disusuli dengan percaturan dan strategi jangka panjang yang ampuh untuk mengembalikan UMNO di puncak kekuasaan.

“Malah, juga perlu ada pelan strategik untuk UMNO kembali sebagai sebuah parti induk yang menerajui kerajaan agar UMNO dapat kembali menjadi pemain utama di persada arena politik negara,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Dalam perbahasan sama, Noor Azleen turut mendakwa kerjasama antara UMNO dan Kerajaan Perpaduan adalah perancangan masa pendek bagi menyelamatkan masa depan parti itu.

“UMNO Johor menegaskan bahawa apa jua bentuk peranan yang dimainkan oleh parti dalam Kerajaan Perpaduan ini hanyalah suatu pendekatan taktikal jangka masa pendek, demi kelangsungan UMNO dan kepentingan politik orang Melayu.

“UMNO Johor sedar bahawa ia adalah suatu ketetapan yang dibuat untuk kita sama-sama menguruskan keperluan UMNO. Sesuai dengan konteks politik semasa. Ia bukan hala tuju yang kekal. Ia tidak sekali-kali menandakan kepasrahan UMNO untuk sekadar menjadi pelengkap, atau pemain tambahan mahupun second fiddle dalam arena politik negara.

“UMNO Johor bertegas bahawa menjadi parti pilihan kedua, parti serpihan, parti kecil nan kerdil – adalah bertentangan dengan nilai, falsafah, sejarah dan fitrah kejadian UMNO,” ujarnya. –UTUSAN                                                                                                                                                                                                     

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya