KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi peringatan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang semalam yang berkomplot keluar Dewan supaya tidak menganggapnya sebagai ‘amalan biasa’ sekalipun tidak bersetuju membahaskan sesuatu isu.
Beliau berkata, situasi itu adalah terpencil atau jarang berlaku dan tidak wajar menganggapnya perkara biasa jika pembangkang tidak berada di dalam Dewan.
Johari hari ini turut mengesahkan semua ahli Parlimen pembangkang memboikot kesemua sesi pembentangan dan perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri Dua sejak semalam dan diteruskan petang tadi.
Bagaimanapun, usul tersebut yang pertama kali dibentang dan dibahas di Parlimen diluluskan selepas mendapat sokongan suara majoriti ahli Dewan Rakyat.
“Selalunya Dewan penuh, tetapi semalam pembangkang tidak mahu terbabit dalam perbincangan atau perbahasan, jadi mereka buat keputusan untuk boikot dan meninggalkan Dewan sejak semalam hingga hari ini.
“Ini bukan amalan biasa, tapi agak luar biasa. Janganlah kita memberi anggapan ini adalah keadaan biasa dalam Dewan (tanpa pembangkang), ini tidak begitu. Isu ini agak terpencil (jarang berlaku),” katanya hari ini.
RSN Rayer [PH-Jelutong] kemudian mencelah dan berpendapat ketiadaan pembangkang sepanjang pembentangan usul itu menjadikan keadaan Dewan lebih aman.
Rayer: Keadaan aman damai tanpa pembangkang.
Johari: Insya-Allah. Hahaha.
Semalam, pembangkang mempersoal keputusan kerajaan yang mahu supaya LKAN Tahun 2021 Siri Dua dibentang dan dibahas sehingga menyebabkan keadaan di dalam Dewan hampir tidak terkawal, malah mengganggu perjalanan persidangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan usul itu berkata, pembentangan itu bertujuan supaya semua pihak dapat memberi perhatian terhadap kehendak undang-undang untuk mewujudkan tadbir urus sektor awam yang lebih baik.
Bagaimanapun, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketidakwajaran LKAN dibahas dalam Dewan Rakyat kerana menganggap terdapat undang-undang yang memperuntukkan ia hanya perlu dibentang tanpa perbahasan, selain bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Sebaliknya, pembangkang mencadang supaya kerajaan mendahulukan beberapa usul persendirian bermula dengan cadangan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim supaya menyegerakan pembinaan dan baik pulih tembok sempadan Malaysia-Thailand bagi kawalan sempadan kedua-dua negara.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, pembangkang mungkin tidak berpeluang meneruskan usul persendirian kerana dijangka lebih banyak Rang Undang-Undang (RUU) serta laporan kerajaan akan dibahas dalam persidangan Dewan Rakyat.
Johari berkata, pembangkang telah khilaf memahami urusan mesyuarat kerana meskipun hanya ada dua RUU dibentang ketika itu, mengikut rancangan ia sepatutnya berjalan dengan perbahasan beberapa laporan antaranya daripada LKAN dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Jelasnya, ia tidak semestinya menjurus kepada perbahasan usul persendirian kerana meskipun RUU terdahulu telah diluluskan, ahli Parlimen masih tertakluk kepada Perintah Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang menetapkan urusan kerajaan menjadi keutamaan.
Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dengan merujuk Perkara 77(1)(c) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat berkata, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merupakan badan bertanggungjawab dalam mengendalikan prosiding untuk menyemak Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
Atas alasan itu, beliau berpendapat bahawa LKAN tidak sepatutnya dibahas dalam persidangan Dewan Rakyat kerana membenarkan ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang membahas laporan itu dianggap sebagai ‘mengecilkan’ tugas PAC.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Pengerusi PAC berkata, beliau tidak melihat kewajaran supaya laporan itu dibentang dan timbul persoalan jika seseorang menteri yang perlu menjawab sesuatu isu secara khusus jika tetap dibahas dalam Dewan Rakyat.
Jelasnya, ketika ini jawatan Ketua Audit Negara juga masih kosong selama empat bulan sejak penyandangnya, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid telah tamat perkhidmatan Februari lalu.
Usul persendirian atau RUU persendirian pula amat jarang berlaku atau hampir tidak pernah didengar di Dewan Rakyat kerana Perintah Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan urusan kerajaan mesti didahulukan.
Ini bermakna, kerajaan boleh melangkau terlebih dahulu daripada sebarang usul atau RUU persendirian yang dikemukakan oleh ahli Parlimen yang sudah berada dalam senarai menunggu.
Kali terakhir usul persendirian didengar ialah pada 2016, apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu bertindak menggantung urusannya di Dewan Rakyat, bagi membenarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membaca RUU persendiriannya untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355. – UTUSAN











