PETALING JAYA: Anugerah PC.com edisi ke-32 baru-baru ini menobatkan Datuk Imri Mokhtar dari Telekom Malaysia Berhad sebagai penerima Anugerah Khas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tertinggi.
Dalam majlis anjuran syarikat Media Reach Publishing itu, pemain sektor hartanah terkemuka iaitu Sime Darby Property berjaya memenangi Anugerah Pemaju Rumah Pintar dan Perbandaran Terbaik.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, penganjuran majlis itu berjaya menyatukan rakyat dengan pemain industri sekali gus mampu merangsang sektor ke arah ekonomi yang lebih baik.
“Ia bukan semata-mata acara biasa, sebaliknya penting untuk membantu rakyat Malaysia terutamanya golongan belia merealisasikan apa yang mereka inginkan.
“Dalam masa yang sama, ia menuntut ke arah masa depan di bawah matlamat bagi membolehkan interaksi bebas dan terbuka antara rakyat, industri dan yang lebih penting adalah kerajaan,” katanya dalam satu rakaman video yang ditayangkan pada anugerah tersebut baru-baru ini.
Dalam pada itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan, Anugerah PC.com itu bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan syarikat-syarikat terkemuka dan dipacu oleh pengundian dalam talian pengguna.
“Acara penyampaian anugerah secara tahunan bermula sejak tahun 2000 dan sebanyak 27 pencalonan kategori menerima anugerah masing-masing.
“Tahun ini, majlis lebih istimewa kerana pemain industri berdepan dengan pelbagai cabaran, sehubungan itu, kami mahu mendedikasikan kejayaan dan usaha mereka selama ini melalui anugerah ini,” jelas kenyataan tersebut.
Lebih 120 tetamu hadir dalam majlis tersebut selain dimeriahkan oleh cabutan bertuah yang bernilai RM80,000 dengan sumbangan daripada Ogawa, Hotel Sunway Resort, Banjaran Hotsprings Retreat, Jabra, STM, Taman Tema Sunway, The Olive Tree Group, ViewSonic, Acer, BadLab, Yoodo, Decathlon, Ninja Van dan Institut Jantung Negara. – UTUSAN