POKOK SENA: Seorang banduan wanita menasihatkan mereka yang mengusahakan perkhidmatan teksi sapu supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti itu.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Faridah, 51, berkata, kerana kesempitan wang dia terpaksa melakukan kerja itu yang akhirnya mengakibatkan dia terpaksa meringkuk dalam penjara selama dua tahun.
Menurut ibu tunggal itu, dia kini menjalani hukuman penjara setelah didapati bersalah kerana mengangkut tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia pada Disember tahun lepas.
“Selalu saya terima tempahan untuk membawa peniaga Kemboja tetapi pada hari itu saya dapat tempahan untuk membawa tujuh orang Indonesia dari Changlun ke Padang Besar. Saya memang tak sangka apa-apa kerana tempahan itu saya dapat daripada peniaga Kemboja yang saya kenal.
“Pada hari kejadian saya ditahan bersama tujuh lelaki warga Indonesia terlibat di Stesen Bas Changlun. Memang terpinga-pinga saya kerana tak sangka mereka adalah PATI. Peniaga Kemboja itu pula hilang entah ke mana,” katanya ketika ditemui pada program Advokasi Keluarga Peringkat Penghuni di Penjara Pokok Sena, semalam.
Ibu kepada tiga anak itu pada Mac lepas didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom 2007).
Bercerita lanjut, katanya, setelah bercerai tujuh tahun lepas, dia terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk menyara keluarga.
“Macam-macam kerja saya buat termasuk membawa orang tetapi saya tak sangka kesudahannya saya terjebak dengan musibah seperti ini. Saya cuma mendapat upah RM100 saja untuk membawa mereka dan kesudahannya saya bergelar banduan.
“Apa pun saya reda dan insaf dengan perbuatan saya ini. Saya harap orang di luar sana jangan sesekali melakukan kerja seperti ini walaupun kadang-kadang niat kita ikhlas namun niat orang lain kita tak tahu,” ceritanya yang diziarah keluarga termasuk anak perempuannya pada program itu.
Menurut wanita itu yang akan dibebaskan pada Mac tahun depan, dia menggunakan tempoh berada di penjara untuk memperbaiki diri termasuk amal ibadahnya.
“Kadang-kadang Allah bagi kita ujian yang berat seperti ini untuk kita insaf dan dekat padanya sebab itu saya reda saja. Saya berada di waktu yang salah bersama orang yang salah lalu menerima ujian ini,” katanya. – UTUSAN










