PETALING JAYA: Mulai 5 Julai ini hanya pesakit Covid-19 perlu memakai pelitup muka apabila mereka dalam pengangkutan awam dan fasiliti kesihatan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, sehubungan itu orang ramai yang bebas penyakit tersebut tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka di kedua-dua tempat berkenaan.
Menurutnya, langkah itu merupakan kelonggaran terbesar terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sejak Malaysia memasuki fasa peralihan endemik pada 1 April tahun lalu.
Katanya, keputusan itu dibuat susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 5 Mei lalu bahawa status Covid-19 tidak lagi berada pada kategori Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Public Health Emergency of International Concern – PHEIC).
Justeru kata beliau, Kementerian Kesihatan telah membuat semakan semula dan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan penilaian situasi semasa jangkitan Covid-19 di negara ini.
“SOP pemakaian pelitup muka yang dahulunya diwajibkan ke atas pesakit Covid-19, semasa berada di dalam pengangkutan awam (kecuali kapal terbang) dan di fasiliti kesihatan, telah dikemas kini mengikut ketetapan berikut dan berkuat kuasa mulai 5 Julai 2023.
“Individu dikehendaki memakai pelitup muka adalah bagi kes positif Covid-19 dan ketika berada di fasiliti kesihatan mengikut amalan Kawalan dan Pencegahan Infeksi semasa berhadapan atau mengendalikan pesakit,” katanya dalam kenyataan.
Namun katanya, pemakaian pelitup muka amat digalakkan berdasarkan penilaian kendiri bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah atau ibu mengandung terutama ketika berada di tempat sesak dan di lokasi pengudaraan kurang baik.
Beliau juga menggalakkan pemakaian pelitup muka terhadap individu yang bergejala respiratori bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain dan semasa berada dalam perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, kapal terbang, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, bas atau van pekerja dan bas atau van sekolah.
Katanya, dari segi prosedur pengasingan kes disahkan Covid-19, arahan pengasingan kes diteruskan dengan tempohnya dipendekkan dari tujuh hari kepada lima hari daripada gejala pertama.
“Ini adalah berdasarkan kajian yang mengatakan bahawa infektiviti kes Covid-19 tinggi pada lima hari pertama gejala dengan viral load yang tinggi pada tempoh tersebut,” katanya.
Sepanjang Jun ini, bilangan kes baharu Covid-19 menunjukkan penurunan sebanyak 53.5 peratus (5,801 kes kepada 2,698 kes) dan kes kematian juga menurun 35.3 peratus (17 kes kepada 11 kes).
Dari segi kapasiti hospital, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam dan pengisian katil fasiliti menurun manakala peratus pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal stabil pada enam peratus.
Sehingga 27 Jun ini, sebanyak 16,337,744 (50 peratus) penduduk Malaysia telah menerima dos penggalak pertama dan 2.5 peratus (825,275) sahaja menerima dos penggalak kedua. – UTUSAN










