BANGI: Datuk Seri Anwar Ibrahim memandang serius terhadap laporan bahawa hampir 30,000 pelajar yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Justeru, beliau mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meneliti secara terperinci mengenai isu tersebut supaya ia tidak berulang di tahun-tahun akan datang.
“Perkara ini berlaku pasca Covid-19, politik tak tentu arah dan tidak ada dasar jelas.
“Bagaimana boleh Menteri Pendidikan ketika itu tak boleh pantau anak-anak tak ambil periksa. Ia hanya memerlukan Fadhlina sebagai Menteri Pendidikan.
“Bagi saya 30,000 pelajar perkara yang serius. Nak kata mereka ‘hilang’, mereka tidak hilang cuma kalau tak buat apa-apa ia hilanglah. Tapi yang tak ambil SPM majoriti Melayu, menteri dulu buat apa,” soalnya dalam Program Cakna Madani bersama pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di institusi pendidikan tinggi.
Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, tidak hadir menduduki peperiksaan.
Calon yang tidak hadir peperiksaan tahun lalu bertambah berbanding calon SPM 2021 yang merekodkan 10.681 atau 2.7 peratus calon tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon yang berdaftar. – UTUSAN










