KLANG: Seorang bekas jurutera di sebuah syarikat minyak wangi menarik nafas lega apabila menerima Faedah Pencen Ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas dia tidak lagi boleh bekerja akibat mengalami masalah berkaitan jantung.
Menurut K. Gunasegaran, 42, sejak dia disahkan menghidap masalah arteri jantung sempit (Ischemic Heart Disease), pergerakannya terbatas dan sukar untuk berjalan menyebabkan dia tidak lagi mampu bekerja untuk menyara keluarganya.
“Sejak sakit, saya tak mampu berjalan, cepat sangat penat. Jalan satu meter pun tak mampu, saya akan kelelahan, sukar bernafas akibat terlalu penat. Saya tak sangka keadaan kesihatan membataskan diri sampai begini sekali,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar di rumahnya.
Jelasnya, bagaimanapun dia tidak berputus asa dan menaruh harapan kepada rawatan yang dijalaninya dan dalam masa sama berharap keadaan kesihatannya semakin baik.
Dalam pada itu, Gunasegaran yang mempunyai tiga orang anak, melahirkan rasa syukur terhadap faedah diterima daripada Perkeso dan menganggap caruman terhadap perlindungan tersebut selama ini sebagai sesuatu yang berbaloi.
“Saya tak pasti berapa caruman yang dibayar kerana ada caruman majikan dan pekerja. Saya berterima kasih kepada Perkeso dan majikan saya sebelum ini yang membuat caruman setiap bulan.
“Memang sangat membantu apabila menerima Faedah Pencen Ilat selepas saya tidak lagi mampu bekerja. Akhirnya ada pendapatan yang dapat meringankan beban untuk menyara keluarga dan menjalani rawatan,” luahnya.
Sementara itu, seorang lagi penerima faedah sama, P. Sokkayee, 54, turut menzahirkan rasa penghargaan kepada badan berkanun itu yang turut menyerahkan bantuan seperti peralatan pemulihan, lampin dewasa, kerusi tandas (commode chair) dan kerusi roda.
Menurut Perkeso, Sokkayee yang dahulu merupakan seorang pekerja kilang dan berhenti pada November 2010 akibat mengalami masalah sakit pinggang sehingga menyebabkan dia sukar berjalan dan melakukan aktiviti harian.
“Dia mengalami sakit pinggang sehingga menyebabkan pergerakannya terbatas. Pada 23 Mei lalu, doktor mengesahkan beliau menghidap degenerative kyphoscoliosis dan mengalami keilatan yang mengakibatkannya tidak lagi sesuai bekerja.
“Justeru, Sokkayee layak menerima bayaran bulanan pencen untuk sepanjang hayat dan Perkeso juga akan menyediakan kemudahan pemulihan jasmani dan dialisisnya,” ujarnya.
Terdahulu, Sivakumar menyantuni kedua-dua penerima faedah Perkeso itu dekat kediaman Gunasegara dan Sokkayee, di sini, dan menyerahkan Faedah Pencen Ilat masing-masing berjumlah RM2,751 dan RM550 sebulan. – UTUSAN