Gucci iktiraf bakat Bollywood - Utusan Malaysia

Gucci iktiraf bakat Bollywood

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU mencecah usia 30 tahun, Mac lalu, aktres jelita, Alia Bhatt mencipta sejarah sebagai selebriti pertama dari India yang dilantik sebagai duta global bagi rumah fesyen terkemuka Itali, Gucci.

Penerbit yang juga bergelar usahawan itu membuat kemunculan pertama sebagai wajah rasmi semasa pertunjukan Gucci Cruise 2024 yang berlangsung di Istana Gyeongbokgung di Seoul, Korea Selatan, minggu lalu.

Acara berprestij itu juga menandakan ulang tahun ke-25 jenama mewah itu membuka cawangan pertama di Korea.

Pelantikan itu merupakan detik penting bagi jenama dan industri peragaan di India, kerana buat julung kalinya jenama yang diasaskan sejak 1921 melantik selebriti India sebagai duta global.

Secara tidak langsung, pelantikan itu merupakan pengiktirafan global terhadap pasaran perniagaan jenama barangan mewah di India.

Alia yang tampak anggun mengenakan blazer berjalur besar dengan butiran butang emas pada lengan menzahirkan penghargaan menerusi Instagram berhubung pelantikan tersebut sekali gus membuktikan satu lagi kejayaan dalam diari seninya.

“Saya amat berbesar hati mewakili rumah peragaan Gucci bukan sahaja di India, tetapi di peringkat global.

“Legasi Gucci sentiasa memberikan saya inspirasi dan menarik minat untuk melihat lebih banyak kejayaan yang bakal ditempa bersama jenama ini kelak,” kongsinya.

Selain Alia, tujuh selebriti terkemuka lain yang dilantik sebagai duta jenama itu, bagi tahun ini ialah pelakon dari China, Xiao Zhan dan Ni Ni serta penyanyi asal China, Lu Han dan Chris Lee.

Turut tersenarai ialah pelakon dari Taiwan, Kai dan penyanyi K-pop berasal dari Vietnam, Hanni.

PENAMPILAN SULUNG DI HOLLYWOOD

Baru-baru ini, Alia turut membuat penampilan sulung di Met Gala sempena meraikan legasi fesyen, mendiang, Karl Lagerfeld di kota metropolitan, New York.

Bagaikan puteri, Alia memukau hadirin dengan sepersalinan gaun berona putih yang disulam dengan jahitan tangan di India, serta kain sutera dari New York.

Nama Alia mula meledak popular selepas membintangi watak sebagai pelacur menerusi filem biopik, Gangubai Kathiawadi, tahun lalu.

Menerusi filem itu, Alia yang pada mulanya berniat untuk menjadi pelakon sehingga sanggup melarikan diri dengan teman lelaki, sama sekali tidak menyangka dirinya dijual di sebuah rumah pelacuran.

Alia yang mempunyai kerakyatan United Kingdom dan melebarkan bakat di Bollywood, pernah membuat penampilan pertama sebagai pelakon kanak-kanak dalam filem Sangharsh pada 1999.

Anak kepada sutradara, Mahesh Bhatt ini juga bakal membuat penampilan sulung di Hollywood sebaris dengan selebriti, Gal Gadot dan Jamie Dornan menerusi filem thriller, Heart of Stone yang akan ditayangkan di platform penstriman, Netflix, 11 Ogos depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.