KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan Pengarah CTB Solutions Sdn. Bhd., Amirruddin Nin berhubung sabitan salah dan hukuman denda yang dikenakan terhadapnya selepas gagal hadir pemeriksaan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan untuk mengekalkan sabitan salah itu selepas mendapati tiada sebarang alasan yang membolehkannya untuk mengganggu dapatan hakim Mahkamah Sesyen.
Namun, Amiruddin hanya perlu membayar denda RM100,000 dan penjara sehari bagi pertuduhan tersebut.
Sebelum ini, pada 15 Julai 2022, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan lelaki tersebut perlu membayar denda RM300,000 dan penjara sehari selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan gagal hadir di hadapan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 14 Julai dan 28 Ogos 2017 dan 18 April 2018.
Ia adalah bagi tujuan pemeriksaan mengikut Seksyen 32(3) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Hukuman penjara diperintahkan untuk berjalan serentak. Amiruddin telah membayar denda dan menjalani hukuman penjara tersebut.
Bagaimanapun pada prosiding hari ini, Hakim Muhammad Jamil membatalkan dua daripada tiga pertuduhan tersebut (pertuduhan kedua dan ketiga) selepas mendapati ia membabitkan siasatan yang sama.
Hakim tersebut juga mengarahkan agar denda yang telah dibayar (bagi pertuduhan kedua dan ketiga) oleh Amiruddin dipulangkan semula kepada lelaki berkenaan.
Selain itu, Hakim Muhammad Jamil membenarkan rayuan Amiruddin untuk mengetepikan sabitan dan hukuman denda berjumlah RM1,958,000 kerana gagal gagal hadir untuk pemeriksaan SC.
Lelaki berkenaan sebelum ini didenda RM1.95 juta kerana gagal hadir untuk pemeriksaan selama 979 hari (denda sebanyak RM2,000 sehari).
Pembayaran denda itu berjaya ditangguhkan sehingga keputusan hari ini. – UTUSAN