LIPIS: Hasrat tiga beradik Orang Asli etnik Semai menunggu durian gugur tidak kesampaian apabila terpaksa lari menyelamatkan diri setelah diancam kawanan enam ekor gajah liar yang menceroboh kebun mereka di Kampung Setig, Pos Betau di sini.
Kejadian haiwan liar itu menceroboh penempatan dan kebun penduduk bukan baharu sebaliknya enam kali berlaku sejak awal tahun ini melibatkan perkampungan Orang Asli Pos Betau dan Pos Lenjang, pedalaman Ulu Jelai.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, mangsa, Norfini Ajik, 49, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 pagi kelmarin itu, dia dan dua abangnya menginap di sebuah rumah adat di kebun terbabit kerana menjaga buah durian yang hampir gugur serta tanaman lain seperti rambutan, pisang dan kelapa.
“Ketika kejadian, kami belum tidur, tiba-tiba terdengar bunyi ranting yang patah dan atap zink yang terletak berdekatan rumah malah lama-kelamaan semakin kuat bunyi benda yang dilanggar. Saya sudah mengesyaki gajah liar masuk kerana sebelum ini kampung dan tanaman di tempat lain sudah dicerobohi haiwan liar ini.
“Jangkaan saya betul apabila tiba-tiba seorang ahli keluarga yang berada di dapur menjerit gajah masuk dan meminta kami turun menyelamatkan diri,” katanya di sini semalam.
Menurut Norfini, mereka segera mengambil lampu suluh dan berlari menyelamatkan diri serta bersembunyi tidak jauh dari rumah adat berkenaan.
“Kesan pencerobohan hawan liar ini, sebahagian rumah rosak serta banyak pokok yang baharu ditanam seperti rambutan, durian manakala sebahagian pokok pisang yang berbuah dan pinang turut dipatahkan oleh gajah tersebut,” katanya. – UTUSAN