Durian naga emas habis ditempah - Utusan Malaysia

Durian naga emas habis ditempah

LIM Kim Chooi (kanan) bersama Ahmad Mustapha menunjukkan isi durian naga emas di Kampung Berchang, Damak di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Walaupun ha­nya 106 biji durian naga emas di kebun milik Lim Kim Chooi, 63, di Kampung Berchang, Damak di sini yang ‘menjadi’ pada musim ini, namun ke­semuanya habis ditempah oleh peminat tegar raja buah tersebut.

Kesemua buah ber­kenaan baru gugur antara tiga ke lima biji sehari bermula Jumaat lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kim Chooi berkata, biarpun begitu masih ada pelanggan meng­hubungi termasuk dari Kuala Lumpur untuk menempah naga emas.

“Musim ini naga emas kurang menjadi, cuma 106 biji yang elok berbanding musim lalu antara 250 hingga 300 biji.

“Berikutan buah yang kurang lebat, saya cuma dapat memenuhi permintaan pelanggan yang sudah pun membuat tempahan awal. Itu pun bergantung kepada buah yang gugur setiap hari,” katanya di sini semalam.

Kim Chooi berkata, naga emas merupakan jenis durian kampung yang asli kerana aroma dan rasanya lemak manis serta sedikit pahit malah seakan-akan isi melekat di kerongkong.

“Buah naga emas bersaiz sederhana besar, berbentuk bulat tidak sekata dan sedikit lonjong, ma­nakala kulitnya sederhana tebal dan berduri kasar.

“Warna kulitnya hijau keperangan dan beratnya antara 1.2 hingga 3.2 kilogram. Di Pekan Damak, naga emas dijual dengan harga sehingga RM45 sekilogram bergantung kepada permintaan di pasaran,” katanya.

Menurutnya, kebun duriannya seluas 2.4 hektar mempunyai 250 batang pokok durian kampung dan durian kahwin termasuk sebatang pokok naga emas dita­nam mentuanya sejak 70 tahun lalu menerusi semaian biji diperoleh daripada seorang rakannya di Terengganu.

“Pokok durian lain pun saya ada, tapi naga emas memang mendapat sambutan cukup menggalakkan dan melebihi jumlah buah yang menjadi pada musim ini,” katanya.

Sementara itu peniaga durian di Pekan Damak, Ahmad Mustapha, 44, berkata, naga emas sudah mendapat perhatian pelanggan sejak dua tahun lalu apabila Durian Premium Kampung (DKP) itu mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan Musang King dari segi aroma serta rasa isinya.

“Sebab itulah, pelanggan menempah lebih awal menerusi saya sebagai penjual termasuk pemilik dusun berkenaan dan berikutan buahnya cuma sedikit musim ini, saya pun serba salah untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya