ALOR SETAR: Slogan ‘kalih bagi sama’ yang digunakan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak songsang serta tidak melanggar prinsip demokrasi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan, slogan seperti itu merupakan hak kepada mana-mana parti untuk diketengahkan pada kempen pilihan raya dan sebahagian usaha menarik pengundi di negeri ini.
Katanya, kempen itu merupakan tawaran kepada rakyat Kedah yang mahu melihat pentadbiran selari antara negeri dan Persekutuan supaya lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke Kedah.
“Di mana songsangnya? Istilah songsang tak ada apabila tiba kempen pilihan raya, kita guna ‘kalih bagi sama’ kerana ia adalah hak parti untuk berkempen. Kita tawarkan kepada rakyat Kedah jika undi BN dan PH, makna sama undi kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Saya pun kenal Datuk Seri Muhammad Sanusi (Md. Nor) secara peribadi. Dalam amalan demokrasi ini tak salah, ada perkara lebih salah jika mencarut, maki orang, fitnah, ikut suka hati kata pada orang. Itu semua lebih dahsyat lagi daripada songsang,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyediaan Manifesto PRN Kedah di Bangunan UMNO, di sini.
Baru-baru ini, Muhammad Sanusi mendakwa, kempen digerakkan BN-PH itu songsang kerana tidak menggambarkan demokrasi selain tidak selari dengan perlembagaan negara.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berkata, kempen politik menjelang PRN hendaklah berada dalam landasan dibenarkan dan tidak menyalahi perundangan kerana hak rakyat untuk memilih dijamin perlembagaan.
Sementara itu, Mahdzir berkata, BN Kedah mencadangkan beberapa intipati sebagai tawaran atau manifesto gabungan itu sempena PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.
Antaranya kata beliau, pihaknya mahu terus memberi perhatian terhadap wanita, golongan belia, dunia digital, pembangunan ekonomi yang berkaitan industri, pelancongan, pertanian dan pendidikan kemahiran khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kita juga menyentuh aspek kesejahteraan rakyat dan sukan. Perinciannya belum lagi boleh diumumkan kerana kita akan bawa cadangan-cadangan itu kepada peringkat perhubungan negeri dan PH terlebih dahulu.
“Kalau kedua-dua pihak menerima tawaran itu yang mahu diberikan kepada rakyat barulah kita akan bentangkan kepada rakyat atau pengundi khususnya,” katanya.
Menyentuh pembahagian kerusi bersama PH, Mahdzir berkata, agihan itu sudah memasuki pusingan terakhir kecuali dua kerusi yang akan diserahkan kepada pucuk pimpinan di peringkat Pusat untuk ditentukan siapa yang akan bertanding.
“34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah boleh dikatakan sudah selesai diagihkan. Secara dasarnya setiap 15 Parlimen di Kedah akan ada calon setiap gabungan ini (BN-PH),” katanya. –UTUSAN










