Cuaca panas tambah rezeki bisnes cuci karpet - Utusan Malaysia

Cuaca panas tambah rezeki bisnes cuci karpet

ZAMRI Muhamad menyedut habuk karpet menggunakan mesin sambil diperhatikan isterinya, Nurul Anis Ayob di rumah mereka di Bandar Utama, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Cuaca panas ketika ini membuatkan sepasang suami isteri dari Bandar Utama di sini tidak menang tangan mengendalikan perkhidmatan mencuci karpet, kusyen dan dalaman kenderaan.

Zamri Muhamad, 37, berkata, dia dan isteri, Nurul Anis Ayob, 35, menerima lebih 300 bidang karpet untuk dicuci selain pertambahan bilangan pelanggan yang menghantar kenderaan untuk cucian dalaman.

“Di sebalik cuaca panas, terselit rezeki untuk saya dan keluarga. Alhamdulillah, cuaca panas membantu proses pe­ngeringan lebih cepat, sekali gus menambah pendapatan.

“Sebagai contoh, pelanggan yang ingin membersihkan ku­syen dan permukaan keseluruhan dalaman kenderaan, tidak perlu menunggu lama apabila kereta yang dihantar waktu pagi akan siap menjelang tengah hari atau petang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Utama di sini semalam.

Zamri memberitahu, dise­babkan permintaan luar jangka, mereka terpaksa mengupah seorang pekerja bagi membantu melancarkan gerak kerja tersebut yang bermula pukul 9 pagi sehingga 7 petang.

Katanya, dia akan mencuci karpet menggunakan jet air dan mesin pencuci untuk membuang habuk dan kotoran yang melekat pada karpet.

“Selepas siap dijemur, karpet yang siap akan dibungkus dan kami akan pastikan ia seperti karpet baharu sebelum dikembalikan kepada pemiliknya,” jelasnya.

Sementara itu Nurul Anis berkata, dia banyak membantu suaminya dari segi pemasaran perkhidmatan yang ditawarkan mereka.

Katanya, setiap hari dia akan mengiklankan perkhidmatan termasuk mengambil dan menghantar karpet yang sudah siap dicuci menerusi media sosial seperti di Facebook dan aplikasi WhatsApp.

“Kami mengenakan caj yang berpatutan kepada pelanggan iaitu antara RM10 hingga RM120 mengikut ukuran sebidang karpet. Bagi cucian keseluruhan permukaan dalaman kenderaan kami mengambil upah bermula RM250 bagi sebuah kereta. Bagi cucian bahagian dalaman kenderaan pakej penuh merangkumi kusyen, karpet lantai, alas kaki, bumbung, pintu serta papan pemuka,” katanya.

Nurul Anis berkata, selain itu mereka juga membuat perkhidmatan cuci tilam, bantal atau sofa pejabat dan kebanyakan pelanggan mereka bukan hanya penduduk di sekitar bandar Gua Musang malah dari Merapoh, Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.