Sekurang-kurangnya 23 nama besar yang pernah menjadi Menteri Besar dan Ketua Menteri serta menyertai Kabinet dijangka membuat kemunculan semula apabila diletakkan sebagai calon dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Meskipun belum muktamad dan mempunyai banyak masa menjelang hari penamaan, difahamkan setiap parti iaitu gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai nama dan kini dalam proses akhir untuk menyelesaikan isu berbangkit seperti pertindihan kerusi menjelang akhir bulan ini.
Tidak boleh tidak nama-nama ini ‘wajib’ menjadi calon pilihan raya, melainkan setiap parti mahu menempah kekalahan dalam PRN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.
Misalnya Kedah, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah 99 peratus pasti bakal diletakkan sebagai calon mewakili PN mengambil kira faktor populariti sebagai Menteri Besar, namun tidak pasti sama ada beliau akan mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri yang dimenanginya sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Hal ini kerana majoriti dimenangi Sanusi ketika itu adalah 2,455 undi dan sukar untuk menandingi jika PH dan BN bergabung sekali gus sudah tentu memberi saingan sengit terhadap beliau.
Selain Muhammad Sanusi, dua bekas Menteri Besar Kedah iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkemungkinan besar menjadi calon PRN setelah mempertimbang kedudukan masing-masing sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Presiden Parti Pejuang Tanah Air.
Malah ada cakap-cakap mengatakan Mahdzir bakal dicadangkan sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan PH-BN berjaya merampas Kedah daripada penguasaan Pas.
Di samping itu nama-nama lain seperti Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari juga berlegar-legar khabar angin kedua-duanya bakal menjadi calon pilihan raya.
Untuk Pulau Pinang pula, meskipun Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu yakin dapat memenangi 20 kerusi DUN tetapi setakat ini tiada nama besar berpotensi sebagai calon melainkan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang sebelum ini telah menyatakan hasrat bertanding di satu kerusi DUN di kawasan Seberang Perai.
Berbanding PH dan BN, terdapat banyak nama berpotensi untuk menggalas tugas sebagai calon dengan beberapa individu penting seperti Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Sementara itu di Selangor, PH-BN mungkin meletakkan semula Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor di DUN Sungai Tua kerana faktor kejayaannya dalam mengemudi negeri selaku penyumbang terbesar ekonomi Malaysia dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM343.5 bilion pada 2021.
Seorang lagi mungkin dipertimbangkan ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang baharu menang Pemilihan UMNO baru-baru ini sebagai Ahli Majlis Tertinggi di samping menang tanpa bertanding Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.
Memandangkan tempoh keanggotaan Dewan Negara, Tengku Zafrul berakhir pada 2025, justeru beliau perlu bertanding PRN jika mahu meneruskan karier politik sama ada sebagai Menteri Besar atau Exco atau ADUN biasa sahaja.
Untuk PN pula, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tewas Parlimen Gombak pada PRU15 berkemungkinan tinggi diletakkan sebagai calon, apatah lagi namanya baru-baru ini dikaitkan bakal dilantik Menteri Besar buat kali kedua sekiranya gabungan parti itu berjaya merampas Selangor daripada penguasaan PH yang mentadbir negeri sejak 2008.
Selain Mohamed Azmin, timbul nama bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang kini cenderung kepada PN untuk diketengahkan sebagai calon meskipun beliau sehingga kini belum menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas.
Negeri Sembilan pula, terdapat beberapa nama berpotensi menjadi calon mewakili PH-BN antaranya Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Jelebu merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Ketika PRU15, Mohamad atau Tok Mat membayangkan akan bertanding di kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen jika pilihan raya berlangsung serentak, namun sehingga kini tidak pasti nama beliau diletakkan untuk mempertahankan DUN Rantau atau sebaliknya.
Seperti Pulau Pinang, situasi sama dihadapi PN Negeri Sembilan apabila tiada satu nama besar yang boleh diangkat sebagai calon melainkan membawa calon ‘payung terjun’ seperti bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang dipecat daripada UMNO awal tahun ini.
Berbeza pula di Terengganu, PH-BN dan PN tidak mempunyai masalah calon kerana semua memiliki pemimpin berpotensi sebagai calon sekalipun kitar semula misalnya seperti Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang kemungkinan bakal mewakili Pas manakala Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Seri Ahmad Said pula calon daripada parti Kerajaan Perpaduan.
Situasi sama juga di negeri Cik Siti Wan Kembang, apabila semua parti khususnya Pas tidak ketandusan calon jika mengekalkan muka lama termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, melainkan Pas mahu membuat kelainan baharu mencalonkan bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz setelah diketepikan pada PRU15 kerana ingin mengambil aura bapanya, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai bekas Mursyidul Am Pas.
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pula yang dipecat daripada UMNO turut dijangka ditampilkan Pas untuk bertanding di DUN Kok Lanas yang pernah dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11).
Calon-calon PH-BN pula tidak ada tandingan terutamanya daripada UMNO dan contoh paling ketara iaitu Pengerusi Badan Perhubungan sendiri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang bakal dicalonkan di salah satu DUN dan terbaharu nama tokoh veteran, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li pula mungkin dipertaruhkan setelah wujud cadangan agar namanya dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya.
Bagaimanapun 23 nama ini bersifat spekulasi dan masih terdapat banyak masa untuk setiap parti memperhalusi calon-calon asalkan dapat meraih kemenangan di saat pertembungan dua gelombang besar antara parti-parti Kerajaan Perpaduan dan PN sejak PRU15 dan berterusan sehingga kini. – UTUSAN










