Calon muda BN diharap dapat tempat dalam PRN - Utusan Malaysia

Calon muda BN diharap dapat tempat dalam PRN

MOHD. Imran Tamrin (barisan hadapan, lapan dari kiri) bersama pelajar UiTM yang hadir pada perasmian program itu di UiTM Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Lebih ramai calon muda diharap dapat dimuktamadkan oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk ditawarkan kepada pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri ini.

Ketua Pemuda BN Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, tawaran untuk calon muda secara tidak langsung menunjukkan parti itu tidak ketandusan pemimpin pelapis dan calon wakil rakyat.

“Dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Pergerakan Pemuda UMNO Selangor menyarankan kepada kepimpinan parti untuk meletakkan lebih ramai calon muda dan baharu.

“Saya lihat peluang kita untuk menang di semua kerusi yang akan diberikan kepada BN Selangor  cerah,” kata beliau  selepas merasmikan program Jelajah Genta Belia X Raff Go Beyond Peringkat Kuala Selangor 2023 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini hari ini.

Menurut beliau, formula meletakkan calon muda terbukti  berbaloi apabila BN berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) di tiga negeri sebelum ini iaitu Johor, Melaka dan Sarawak. 

Kata  Mohd. Imran lagi, Pemuda BN Selangor tidak meletakkan sebarang jumlah berapa ramai  calon muda yang perlu diletakkan, sebaliknya mengikut segala keputusan yang akan dibuat di peringkat kepimpinan pusat nanti. 

Sementara itu, dalam program Jelajah Genta Belia X Raff Go Beyond, beliau memaklumkan aktiviti anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama beberapa agensi  itu bertujuan mempromosikan inisiatif kerajaan dalam memperkasakan ekonomi belia untuk dimanfaatkan golongan berkenaan.

“Sebanyak tiga daerah di Selangor  terpilih untuk menjalankan program tersebut iaitu Hulu Langat, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

“Kita mahu mendekati golongan belia, baik  pelajar universiti, yang bekerja di kampung dan bandar iaitu kerajaan akan membantu mereka dari pelbagai aspek,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN